HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Pencarian pesawat MH370 yang masih hilang dan dunia buntu mengenai misterinya, Perdana Menteri Australia, Tony Abott, semalam membawa berita yang sedikit melegakan iaitu dengan penemuan objek yang tenggelam timbul oleh satelit negaranya di selatan Lautan Hindi.
Atas sedikit kepercayaan bahawa objek sepanjang 24 meter itu adalah serpihan daripada pesawat MH370, selain meminta pihak berkuasa di negaranya berusaha mengesan penemuan itu bagi memastikan kesahihannya, beliau juga memaklumkannya kepada Perdana Menteri, Najib Razak melalui telefon.
Di negaranya pula, Tony Abott membuat pengumuman mengenai penemuan itu di Parlimen, sebuah institusi tertinggi di mana-mana juga negara demokrasi.
“Perkara ini segera menarik perhatian dunia tentang bagaimana beliau menghargai Parlimen yang mewakili kepentingan rakyat sedangkan jika mahu, beliau boleh saja memanggil sidang akhbar di pejabat atau kediamannya untuk mengumumkan penemuan itu,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya, semalam.
Tetapi kerana menghargai Parlimen dan supaya pengumuman itu didengar oleh semua wakil rakyat yang seterusnya mewakili rakyat Australia, beliau akhirnya memilih Parlimen untuk berbuat demikian.
Walaupun MH370 bukan milik negaranya tetapi kerana menyedari isu kehilangan pesawat itu menjadi tumpuan dunia ketika ini, kewajaran dan keseriusan beliau sebagai pemimpin dalam melihat insiden ini seharusnya dihargai dan dipuji.
Bagi Shahbudin, ini nyata berbeza dengan negara kita, di samping pesawat MH370 adalah milik negara ini dan tumpuan pula diberikan oleh rakyat dan dunia, tetapi Parlimen tidak digunakan dengan sebaiknya, malah diketepikan pula.