Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Bapa yakin pasangan berbulan madu selamat

$
0
0
MALAYSIAKINI


Bapa kepada seorang penumpang penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) masih menanti kepulangan anaknya, Norliakmar Hamid, 33, yang menaiki pesawat itu bersama-sama suaminya ketika ia hilang sejak 8 Mac lepas.
  
Hamid Ramlan, 56, seorang anggota polis yang bertugas di Bukit Aman berkata walaupun penantian merupakan satu penyeksaan, beliau sekeluarga masih yakin Allah SWT dapat menemukan mereka dengan anak perempuan serta menantunya, Mohd Razahan Zamani, 24.
  
"Pasangan itu pergi ke Beijing, China untuk berbulan madu. Hampir dua minggu kami tidak menerima sebarang maklumat positif mengenai mereka. Kami tawakal dengan segala ketentuan Ilahi," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Bagaimanapun, beliau berkata jika keadaan sebaliknya berlaku, mereka keluarga tetap akan menerima dengan redha walaupun perit.
  
Sementara itu, S.Thenmoli, 26, adik perempuan kepada seorang penumpang MH370 turut yakin abangnya, S.Puspanathan, 34, tetap akan pulang ke pangkuan keluarga meskipun sudah 13 hari pesawat berkenaan gagal dikesan.

Thenmoli, seorang eksekutif operasi di sebuah syarikat swasta di ibunegara, berkata anggota keluarganya masih menanti kepulangan Puspanathan yang menaiki pesawat itu ke Beijing atas urusan kerja.
  
"Pagi ini saya tengok berita mengenai imej satelit menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan kepada pesawat MH370 yang hilang namun saya masih percaya abang saya selamat," katanya kepada Bernama.
  
Thenmoli berkata mereka sekeluarga tetap berdoa agar abangnya dapat ditemui secepat mungkin.
  
Puspanathan mempunyai seorang isteri, K.Sridevi, 30, dan dua anak lelaki P. Varmer, 3, dan P. Thashuvarmen, setahun.
  
Thenmoli berkata Sridevi, yang merupakan seorang suri rumah, kini menetap di Batu Caves, Selangor bersama ibunya selepas tiada sebarang maklumat postif mengenai insiden kehilangan pesawat itu.
  
Sejumlah 227 penumpang dan 12 anak kapal menaiki pesawat itu, yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam Jumaat.
  
Hari ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbott memaklumkan Parlimen di Canberra bahawa imej satelit negara itu menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat berkenaan.

Sementara itu, Utusan khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting berkata Malaysia melakukan segala yang mungkin untuk memberi maklumat terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, kepada keluarga 239 penumpang dan kru.
  
Katanya, Malaysia sentiasa telus dalam membekal dan menyebarkan maklumat kepada mereka.
  
"Kami cuba menjawab soalan dan menyelesaikan kesangsian mereka secepat mungkin," katanya kepada ratusan pemberita asing dan tempatan selepas taklimat dua-setengah jam dengan keluarga penumpang dan kru di sebuah hotel di Cyberjaya malam tadi.

Pesawat Malaysia Airlines itu yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac.

Ong berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sentiasa memberi keutamaan teratas terhadap keluarga kru dan penumpang. 
  
Taklimat itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Long See Wool, Pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Yusof, pegawai-pegawai kanan Jabatan Penerbangan Awam, wakil-wakil Angkatan Tentera dan pegawai-pegawai Wisma Putra. - Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722