Hotel Everly mulai sunyiOrang ramai memberi tumpuan kepada sidang media yang menyatakan satelit Australia menjumpai dua objek berkemungkinan berkaitan pesawat MH370 di Lautan Hindi.


PUTRAJAYA - Memasuki hari ke-13 kehilangan MH370, suasana di Hotel Everly yang menempatkan keluarga penumpang pesawat itu kelihatan sunyi semalam.

Seorang kaki tangan MAS yang enggan dikenali berkata, hanya tinggal lima keluarga masih menginap di hotel tersebut.

Menurutnya, keluarga yang lain telah pulang ke tempat tinggal masing-masing menunggu maklumat di rumah.

“Mereka yang masih tinggal di sini nampaknya tak pula keluar dari bilik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Apabila ditanya keluarga siapa yang masih menunggu, sumber itu berkata, tidak dapat dipastikan cuma ada keluarga penumpang Cina dan Melayu.

“Mereka mungkin datang dari jauh dan susah untuk berulang alik jika ada urusan apa lagi dalam keadaan kecemasan. Lebih mudah terus tinggal di sini untuk dapatkan sebarang maklumat," katanya.

Kelmarin dinyatakan tempoh masa diberikan kepada anggota keluarga menetap di situ sehingga hari ini, namun mereka boleh pulang ke tempat tinggal masing-masing lebih awal.

Bermula hari ini, kebajikan kesemua keluarga penumpang yang menginap di hotel itu diuruskan Perbadanan Putrajaya.