MH370


SEPANG - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah mengambil simulator penerbangan daripada rumah juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah untuk diperiksa oleh pakar.

Beliau berkata, pakar sedang memeriksa simulator milik juruterbang itu dengan harapan mendapatkan petunjuk bagi membantu mencari kehilangan pesawat itu.

"Kami ke rumah beliau petang semalam dan mengambil simulator dan semuanya yang dapat membantu kami. Kami menanggalkannya (simulator) di rumah dan memasangnya semula di pejabat kami," katanya pada sidang media yang dipengerusikan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini.

Dilaporkan polis semalam telah memeriksa rumah Kapten Zaharie serta pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid.

Khalid berkata kes kehilangan pesawat itu pada 8 Mac lepas disiasat mengikut Seksyen 130 (C) Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Kesalahan-kesalahan Penerbangan 2003.
  
Beliau berkata tumpuan polis kepada empat kemungkinan tidak berubah iaitu rampasan pesawat, sabotaj, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang dan anak kapal.
  
Katanya siasatan latar belakang semua penumpang dan anak kapal dilakukan dengan bantuan agensi-agensi perisikan.
  
Sementara itu, Khalid menafikan dakwaan bahawa kerajaan Malaysia telah menolak bantuan polis antarabangsa Interpol dalam usaha menjejak kehilangan pesawat itu. - Bernama