Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap pada sidang media MH370 di Sama-Sama Hotel KLIA pada hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
SEPANG - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien menyangkal dakwaan lokasi pesawat MAS Boeing 777-200ER penerbangan MH370 adalah di pangkalan tentera Amerika Syarikat Diego Garcia di Lautan Hindi.
Menurutnya, tiada asas untuk membuat kenyataan sedemikian.
"Setahu saya tiada asas untuk kita membuat kenyataan itu (MH370 didakwa berada di Diego Garcia)," jawabnya ringkas pada sidang media hari kesembilan kehilangan MH370, hari ini.
Sementara itu, pada sidang media tergempas semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak spekulasi berkenaan pesawat itu dirampas.
"Pihak kami masih siasat semua kemungkinan. Berkenaan ia dirampas, kami masih belum mahu mengesahkan apa-apa," katanya.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu lepas.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.