Diperdaya RM18,000: Pakej niaga kerusi urutMustakim (tengah) bersama Amir Hamzah (kanan) dan Balakrishnan pada sidang media, semalam.


AYER KEROH - Seorang juruteknik sebuah kilang rugi RM18,000 akibat terpedaya dengan janji manis sebuah syarikat yang berjanji menyediakan pakej perniagaan kerusi urut, namun akhirnya gagal dihubungi.

Mustakim Moolish, 32, dari Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal berkata, pada 30 November lalu, dia dihubungi individu yang mendakwa mewakili sebuah syarikat untuk menjemputnya datang ke satu acara di sebuah hotel terkemuka di negeri ini pada 1 Disember lalu.

Menurutnya, alasan syarikat terbabit adalah untuk melakukan kaji selidik, di samping menawarkan hadiah menarik termasuk tiket penerbangan, pakej pelancongan serta baucar makan malam.

“Bagaimanapun, setelah berada di sana, mereka sebaliknya menawarkan pakej perniagaan kerusi urut dan bersungguh-sungguh meyakinkan saya biarpun pada mulanya berasa sangsi.

“Mereka meminta saya membayar deposit sebanyak RM7,000 untuk menyertai perniagaan itu yang kesemuanya berjumlah RM18,000.

 “Namun ketika itu saya hanya membawa wang tunai RM3,000. Itupun saya bayar menerusi mesin ATM sebuah bank di Ayer Keroh,” katanya.

Dia yang masih bujang berkata, pada pertengahan Disember lalu, dia dihubungi semula salah seorang kakitangan syarikat terbabit yang memintanya membayar baki RM15,000 dan berjanji untuk menghantar mesin urut sebelum tarikh 10 Januari lalu.

“Selepas tarikh itu, saya cuba menghubungi syarikat terbabit yang berpejabat di Ipoh menerusi panggilan telefon namun tidak berjawab, malah segala mesej dihantar juga tidak dibalas.

“Jumlah keseluruhan yang telah dibayar adalah RM18,000. Semua wang tersebut adalah daripada hasil simpanan saya sepanjang bekerja," katanya pada sidang media bersama Pengarah Pembela BN Negeri Melaka, Amir Hamzah Aziz, dekat sini, semalam.

 Turut hadir, Penasihat Perundangan Pembela BN, M Balakhishnan.

Mustakim berkata, selepas beberapa nombor telefon bimbit wakil syarikat terbabit dan nombor pejabat gagal dihubungi, dia membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh.

 Sementara itu, Amir Hamzah berkata, Pembela BN menyediakan peguam bagi membela mangsa serta satu tindakan sivil boleh dijalankan.

 "Nasihat saya, masyarakat perlu lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis syarikat seperti ini,” katanya.