KUALA LUMPUR - Sejumlah RM160,000 lesap dari dua mesin keluaran wang automatik (ATM) di bangunan TNB Bangsar dan Presint 7, Putrajaya, yang dipercayai didalangi oleh empat pekerja syarikat keselamatan, di situ, dan dua rakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, bagaimanapun, tindakan pantas polis berjaya menangkap tiga suspek di sebuah rumah di Kuala Selangor jam 4 hingga 7 pagi Khamis lalu.
Menurutnya, mereka dipercayai terlibat dalam kes kehilangan wang di Bangsar awal bulan ini.
Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira yang dibeli menggunakan wang curi dengan harga RM20,000.
“Empat hari kemudian, kita berjaya mengesan dua lagi suspek dan menahan mereka kira-kira jam 6 petang berkaitan kes curi di Putrajaya.
“Esoknya, seorang lagi turut dikesan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, sebelum merampas tiga telefon bimbit, wang tunai RM1,720, penutup muka, lapan slip transaksi bank dan empat kad ATM,” katanya.
Beliau berkata, mereka, yang berusia 22 hingga 29 tahun, adalah pekerja syarikat keselamatan sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Kita percaya kehilangan wang tersebut membabitkan orang dalam syarikat keselamatan berkenaan yang mahir dengan selok-belok operasi ATM.
Ini kerana kejadian ini gagal dikesan melalui alat penggera keselamatan di situ,” katanya.
Dalam kejadian pertama pada 3 Mac, kejadian disedari pengurusan syarikat keselamatan mengenai kekurangan wang yang sepatutnya berjumlah RM220,000. Hasil audit mendapati sejumlah RM80,000 sudah hilang.
Dalam kejadian kedua jam 12.48 malam oada 10 Mac lalu, ATM diumpil dan kekuncinya dipatahkan. Kerugian juga serupa seperti dalam kejadian pertama dan disedari oleh pihak syarikat kawalan keselamatan.