Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

MH370: Yang ghaib dan yang nyata

$
0
0
                                
Oleh Meor Yusof Aziddin


Saat saya menulis artikel ini, dunia masih diselubungi rasa panik, sedih, misteri dan persoalan yang bermain di setiap benak umat manusia di seluruh dunia hal dan kisah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa lebih 200 penumpang dan 12 anak kapal yang hilang daripada radar ketika dalam penerbangan ke Beijing, Sabtu lalu.

Sudah 5 hari,berita terkini hanya sekadar spekulasi belaka. Segala kemudahan dan teknologi yang serba canggih digunakan semaksimumnya untuk mencari dan menyelesaikan persoalan MH370, namun semuanya masih belum terungkap.

Daripada segi kesan positifnya pula, ia secara tidak langsung mempopularkan 'Tahun Melawat Malaysia 2014' yang sedang berlangsung sepanjang tahun ini selepas kali terakhir dilancarkan pada 2007 dulu.

Berita tentang pesawat MH370 ini juga sedang menjadi berita paling hangat di dunia ketika ini. Hangat kerana misteri dan magik yang menyelubunginya. Berbagai spekulasi yang ditimbulkan menambahkan lagi minat dunia untuk mengikuti perkembangannya.

Saya percaya dunia akan semakin mengenali Malaysia dan MAS selepas ini.

Segala yang logik dan serba canggih sudah dan sedang dunia lakukan untuk mencari jawapan tentang MH370. Malaysia tidak keseorangan dalam hal ini, tetapi jawapannya masih belum kita temui.

Sehingga mungkin bermain di benak kita juga, adakah kehilangan MH370 bersangkut-paut dengan makhluk asing atau jin?

Ini hanya sekadar spekulasi, tetapi apabila segalanya yang bersebab dan musabab itu pun masih menemui jalan buntu, persoalan dan pencarian kita mula menerawang di luar kotak fikir.

Saya percaya pada rukun iman. Begitu juga saya percaya kepada alam ghaib. Rukun iman menuntut kita percaya 6 perkara yang wajib bagi umat Islam.

Iman itu sendiri adalah subjek yang tidak nyata tetapi nyata. Katanya iman itu di dalam, di dalam itu letaknya jantung dan hati. Mana imannya? Ia merangkumi tahap faham kita dalam merasai makna melalui tahap percaya kita.

Apabila "Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP" Ibrahim Mat Zin turut terlibat memainkan peranan mambantu kerajaan menggunakan kaedah tradisional, nyatalah pada kita yang zahir dan batin itu saling perlu memerlukan.

Saya percaya setiap kejadian makhluk dan ciptaan di seluruh alam yang terbentang luas ini, segalanya adalah terjemahan refleksi sikap dan kehendak penghuni alam itu sendiri, walau atas kehendakNya jua.

Kita bercakap tentang alam yang semakin merajuk dan menjauh diri daripada kita saat ini. Kesannya negara kita sedang dilanda kemarau, tidak tahu sampai bila ia akan melanda.

Baru-baru ini, sewaktu pulang ke kampung melewati Sungai Perak, saya lihat airnya semakin kering dan kontang akibat kemarau.

Benarlah seperti kata penyanyi folk legenda Indonesia, Ebiet G Ade dalam lagunya:

'Mungkin Tuhan mulai bosan, melihat tingkah kita, yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa, atau alam mula enggan bersahabat dengan kita. Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang. Tajuk lagu ini ialah Berita Kepada Kawan.

Kita lihat hari ini atau musim ini, mana ruang yang bumi masih boleh bernafas? Segalanya di kota ini terutama yang terhampar pada kita hanyalah hutan batu kesan pembangunan bermotifkan keuntungan daripada kaum pemodal.

Segalanya menjadi semakin sempit. Hutan terbakar, bumi dan pohonan menjadi kering sehingga mengakibatkan kebakaran di sana sini. Lapisan ozon menjadi semakin nipis dan ia juga penyebab kepada segala malapetaka yang sering melanda dunia hari ini, akibat sikap kita sendiri.

Dan seperti biasa, kita akan menjadi semakin rakus mengerjakan bumi mengikut cara kita yang kebanyakannya dipenuhi dengan sifat tamak dan rakus ini.

Hasilnya, apa saja yang datang adalah satu pemberian, sama ada dalam bentuk peringatan, juga pengajaran agar kita lebih menilai apa itu tanah, air, api dan angin dalam istilah pengertian hakikat yang sebenarnya.

Jika mereka bertanya kepada saya tentang MH370, saya katakan kita perlu menghadapi kenyataan, cerita dan kehendak yang datang daripada Tuhan pencipta alam.

Kehidupan ini bukannya sekadar matematik, tolak campur bahagi dan darab untuk menghurai dalam mencari jawapannya. Itu hanyalah sekadar perkiraan tahap akal manusia yang masih terbatas.

Segala apa yang terdapat di dalam lautan itu, kita masih gagal menyelami rahsia yang terkandung di dalamnya, apatah lagilah untuk kita mengungkap tabir hijab yang terdapat di langit sana.

Alam ghaib? Makhluk asing? Pengganas? Segalanya akan bermain di fikiran kita hal yang menimpa MH370. Sama ada kita percaya atau tidak, apa pun segala yang berlaku di dunia ini, akan tetap berlaku jika memang Dia mahu itu berlaku.

Kadang-kadang kita perlu meningkatkan makna 'percaya' itu dalam konteks yang lebih mendalam sehingga akhirnya kita reda segala takdir yang menimpa kita, selagi diberi nafas di dunia ini.

Doa? Kita sedang berdoa agar segala yang baik-baik saja dihidangkan kepada mereka yang terlibat.
Ia bukan semudah ucapan semata-mata, itulah daya dan usaha kita yang bernama manusia  ini.

Waktu semakin suntuk, apa saja yang berlaku walau pelik dan misteri, boleh saja asal dengan izinNya. Kita tidak punya banyak pilihan dalam menghadapi segala masalah dan musibah yang menimpa .

Saya masih berdoa agar semuanya dalam keadaan selamat dan sejahtera di dalam lindunganNya, insya-Allah.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722