SHAH ALAM - Guru yang diarahkan pindah sekolah, Mohd Nor Izzat Mohd Johari kerana membantah sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merayu arahan itu ditarik balik.
Beliau yang merupakan Ketua Gerak Kerja Kempen Mansuh PBS, membuat rayuan itu dalam satu surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Berdasarkan surat itu, beliau menyuarakan kekesalannya berikutan tindakan yang dikenakan kerana mendakwa sebelum itu beliau dijemput Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh menerangkan berhubung perkara tersebut.
“Beliau (Idris Jusoh) memberi jaminan (secara lisan) bahawa saya bersama rakan-rakan yang hadir tidak akan dikenakan apa-apa tindakan kerana cuba menyampaikan kelemahan berkaitan pelaksanaan PBS.
“Selepas perjumpaan tersebut, saya bersama rakan disoal siasat pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Kementerian Pendidikan (KPM), Nazir Negeri Pahang dan Nazir Persekutuan selepas mendapat aduan daripada pelanggan bertarikh 24 Disember 2013,” katanya yang dipetik dalam surat tersebut.
Katanya, bukan beliau sahaja dikenakan tindakan, bahkan bersama dua rakannya.
“Saya harap (Datuk Seri Najib Razak) dapat mendengar permasalahan berkaitan pendidikan negara yang sedang meruncing.
“Saya dan rakan guru sedih melihat masa depan anak-anak dijadikan ujikaji atau ‘tikus makmal’ dengan sistem pendidikan tidak stabil, berubah-ubah dan tiada ketetapan,” katanya.
Mohd Nor Izzat sebelum ini dilaporkan menerima surat arahan pindah serta-merta kerana membantah sistem PBS, beliau merupakan guru yang mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Jerantut, Pahang.
Susulan pertukaran itu, beliau dikatakan dihantar ke sekolah yang jaraknya lebih jauh dari rumahnya iaitu 80 kilometer (km) berbanding sebelum ini hanya 25 km.