Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Tian Chua, dua aktivis mohon batal tuduhan

$
0
0

MALAYSIAKINI


Naib Presiden PKR Tian Chua dan dua aktivis pembangkang hari ini sekali lagi memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka yang didakwa memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah tahun lepas.
  
Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, Adam Adli Abd Halim dan Hishamuddin Md Rais memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Daim & Gamany di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
  
Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pertama Tian Chua, Adam Adli dan Hishamuddin untuk membatalkan permohonan itu selepas mendapati ia pramatang dan tidak bermerit.
  
Dalam permohonan kali ini, mereka memohon satu perintah bahawa pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 digantung atau dibatalkan atas alasan pendakwaan terhadap mereka merupakan satu penyalahgunaan kuasa Mahkamah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
  
Mereka mendakwa akta itu juga merupakan satu sekatan yang tidak munasabah terhadap hak kebebasan bersuara dan ia bercanggah dengan Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu mereka memohon perintah mahkamah supaya dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.
  
Mereka juga memohon Akta Hasutan 1948 itu adalah batal dan tidak sah.
  
Tian Chua dalam afidavit sokongannya berkata Akta Hasutan 1948 bersifat menindas, abitrari, dan keterlaluan serta bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tian Chua, 51, Adam Adli, 25, dan Hishamuddin, 62, didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.
  
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.55 malam pada 13 Mei tahun lepas.
  
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.- Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722