Shahrizat (empat, kanan) beramah mesra bersama wanita BN selepas mempengerusikan Mesyuarat Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. - Foto: Bernama
KUALA LUMPUR - Wanita BN menubuhkan unit khas mengendalikan media sosial bagi memantau dan menyerang balas segala bentuk tohmahan dan fitnah yang dilemparkan parti lawan sepanjang kempen PRK Dun Kajang bermula minggu depan.
Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia berikutan tindakan pembangkang yang dilihat semakin agresif menyerang pemimpin BN menggunakan media sosial dengan laporan yang tidak benar.
“Kita tengok politik pembangkang amat dahsyat sekali terutama dalam laman media sosial, mereka lempar tohmahan dan fitnah untuk kepentingan polisik dan kemudian melarikan diri.
“Kita akan buat serangan balas kerana kita tengok sejak kebelakangan ini terlalu mendadak dan berleluasa serangan terutama dalam media sosial, mereka (pembangkang) baling batu sembunyi tangan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penggal Pertama Wanita BN Tahun 2014, di sini, semalam.
Hadir sama dalam sidang media itu, Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Azizah Mohd Dun, Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kei dan beberapa Ketua Wanita Bahagian komponen BN.
Beliau berkata,penubuhan unit yang akan dikoordinasi bekas Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad, yang juga Penolong Setiausaha Wanita BN, itu akan meluaskan lagi capaian maklumat rakyat terutama pengundi di Kajang yang majoritinya celik komputer tetapi mungkin terkeliru dengan tohmahan pembangkang melalui medium itu.
Katanya, ia juga selaras dengan pendekatan ofensif yang akan digunakan BN ketika berkempen seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagi memenangi hati 39,278 pengundi di Dun Kajang merangkumi 50.07 peratus wanita, beliau berkata, Wanita BN akan meneruskan peranan yang sudah sinonim dengan mereka iaitu bergerak dari ‘pintu ke pintu’ untuk bersemuka dengan pengundi bagi menerangkan mengapa calon BN perlu dipilih.
Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, berkata selain menjelaskan kemelut yang melanda parti lawan yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri Selangor, jentera Wanita akan berperanan sebagai ejen penyatuan rakyat bagi merungkai tuduhan pembangkang kononnya BN tidak sensitif dengan kehendak penduduk apabila meletakkan wakil MCA sebagai calon.
“Sebagai tulang belakang BN, Wanita akan bergerak ke setiap rumah menjelaskan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin pakatan pembangkang serta kemudaratan yang mungkin berlaku sekiranya calon dari parti lawan menang dalam pilihan raya itu,” katanya.