Tan Sri Bernard Dompok (gambar), presiden parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), dijangka mengumumkan persaraan beliau daripada arena politik dalam tempoh beberapa hari lagi.
"Beliau dijangka membuat pengumuman itu dalam tempoh beberapa hari lagi. Apabila beliau berundur, berdasarkan kepada perlembagaan parti kami, timbalan presiden akan mengambil alih pucuk pimpinan parti," kata seorang pemimpin parti yang tidak mahu namanya disiarkan.
Sejak kebelakangan ini timbul desas-desus yang bekas Menteri Industri Perladangan dan Komoditi itu sedang bersiap untuk berundur dengan Dompok sudahpun menyerahkan tugas-tugas tertentu kepada pemimpin nombor dua parti, Datuk Wilfred Madius Tangau.
Bagaimanapun, Tangau apabila dihubungi hari ini tidak mahu mengesahkan atau menolak desas-desus itu kecuali meminta pihak media untuk menunggu beberapa hari lagi.
"Tiada apa untuk diulas. Tunggulah," katanya.
Orang dalaman parti itu juga berkata Dompok telah memaklumkan kepada beberapa pemimpin parti akan rancangan persaraannya selepas beliau gagal mengekalkan kerusi Parlimen Penampang semasa Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.
Kerusi Penampang itu dimenangi oleh Darrel Iking daripada PKR.
Langkah yang diambilnya itu bertujuan membuka laluan bagi barisan pemimpin muda mengambilalih pucuk pimpinan dan memberikan mereka masa yang cukup untuk membuat persiapan bagi pilihan raya akan datang.
Upko, dahulunya dikenali sebagai Parti Demokrat Sabah merupakan sebuah daripada komponen Barisan Nasional Sabah. Parti itu diasaskan oleh Dompok dan beberapa pemimpin lain yang meninggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS) selepas pilihan raya negeri pada 1994.