Barisan Nasional (BN) menafikan melakukan serangan peribadi dalam kempen mereka dan akan bersifat lebih “gentleman” menghadapi segala tuduhan yang dilemparkan daripada calon lawan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut timbalan perdana menteri itu, biarpun BN selepas ini akan dilihat lebih agresif dalam tempoh berkempen namun akan mematuhi peraturan dan undang-undang pilihan raya kecil Suruhanjaya Pilihan Raya.
"Kempen kita selepas ini akan bersifat 'offensive' daripada 'defensive' kerana kita tidak mahu sekiranya hanya bertahan pihak lawan akan menganggap BN lemah.
"Selain itu kita akan mendedahkan segala rancangan dan komplot oleh pihak lawan yang tidak memberi manfaat kepada pengguna," katanya pada media selepas menghadiri mesyuarat jentera BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang, di Pejabat Umno Bahagian Hulu Langat hari ini.
Katanya, BN akan menumpukan isu nasional dan semasa dalam kempen yang akan digerakkan selepas hari penamaan 11 Mac ini.
Beliau juga berkata BN menganggap pengundi adalah raja dan jentera PRK Kajang akan memberi fokus dalam kebajikan mereka.
"Kita sudah bersedia dengan gerak kerja yang lengkap dan penyelarasan yang dilakukan dan semua peringkat tahu tanggungjawab mereka.
"Kerana itu kita akan memberi tumpuan kepada soal kebajikan pengundi dalam menghubungkan semua rakyat hingga ke akar umbi," katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan calon lawan PRK Kajang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin rakus yang mengamalkan demokrasi songsang.
"Setelah rekod BN Umno yang baik dalam pilihan raya lalu, 23 Mac ini kita dicabar sekali lagi oleh pemimpin pembangkang yang rakus sekali.
"Kononnya pemimpin itu tegakkan demokrasi tetapi mengamalkan demokrasi songsang, ikut belakang pun boleh, ikut depan pun boleh," katanya dalam program Perasmian Jentera Wanita BN PRK Kajang, "Jalinan Kasih", di Taman Saujana Impian, Kajang.
Berucap di hadapan kira-kira 200 penyokong Umno, Shahrizat berkata sayap wanita parti itu akan bekerja sebagai satu pasukan untuk meraih kemenangan BN dalam PRK Kajang ini.
Beliau juga menyifatkan peribadi dan pencapaian calon BN bagi PRK Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun, adalah sangat baik.
"Siapa yang tidak kenal dengan calon kita, 'track record'nya sangat membanggakan saya. Jika hendak 'rating' kepada calon ini, saya beri 10/10," katanya.