SHAH ALAM - Semua calon diingatkan supaya patuh pada peraturan ditetapkan seperti yang terkandung dalam buku tataetika pilihan raya.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, jika semua pihak mengikut peraturan yang ditetapkan perjalanan pilihan raya akan berlangsung dengan lebih lancar.
“Semuanya telah disebut dalam buku itu dari hari penamaan calon, tempoh berkempen, pada hari pengiraan undi dan semasa pengumuman dibuat.
“Semua pemimpin politik, ejen calon dan calon perlu khatam buku itu supaya mereka faham apa yang boleh dan tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Abdul Aziz turut mengingatkan pemimpin parti politik menunjukkan contoh yang baik kepada penyokongnya kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku semasa proses pilihan raya bermula.
Menurut beliau, walaupun sering kali berdepan dengan PRK, kebanyakan pemimpin politik membiarkan sahaja penyokong mereka membuat perkara yang dilarang.
“Saya tengok pemimpin parti politik ini senyap saja, membiarkan anak-anak buah mereka buat begitu (melanggar peraturan).
“Setiap kali penamaan calon, masih ramai yang berarak, menggunakan pembesar suara dan memberi ceramah walaupun perkara itu sudah dilarang. Terbaru, pada PRK Sungai Limau (Kedah) ada yang membawa alat muzik sehingga mengganggu SPR menjalankan tugas," katanya.
Abdul Aziz berkata, jika pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) mengesan ada ejen calon atau calon yang melanggar peraturan, dan perkara itu dapat dibuktikan di mahkamah, tidak mustahil calon terbabit akan disingkirkan.
“Jika ada perkara-perkara yang melanggar tataetika dikesan, PP-KPR akan adakan perbincangan dan memanggil pihak terlibat sebelum tindakan diambil, dan jika memudaratkan SPR akan mendapat bantuan polis,” katanya.
Antara perkara yang disebut dalam tataetika pilihan raya adalah, calon diingat tidak menggunakan rumah ibadat sebagai tempat berkempen.
Calon juga diingat untuk tidak melakukan apa-apa tatalaku atau perbuatan (dalam bentuk lisan, tulisan atau apa-apa gambaran) yang boleh mencetuskan perasaan benci atau permusuhan antara kaum, agama atau budaya dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, bahan kempen juga tidak boleh dipamerkan sebelum bermulanya tempoh berkempen.