Aqilah Radzuankaidi
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan tuduhan hasutan terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua, aktivis propembakang, Hishamuddin Md Rais dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Adam Adli Abdul Halim.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Husin, menolak permohonan ketiga-tiga tertuduh yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah pada 13 Mei tahun lalu.
Pada 13 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Norsharidah Awang memutuskan perbicaraan dibuat secara berasingan supaya tidak menimbulkan prejudis kepada semua tertuduh memandangkan masa kejadian dan teks ucapan setiap mereka adalah berbeza.
Ketiga- tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di No. 1, Jalan Maharajalela, di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.