SHAH ALAM: Bekas kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) hari ini memfailkan kes kepada pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan sebagai langkah menuntut pembelaan berhubung kes penamatan kontrak perkhidmatan serta merta.
Menurut bekas Pengurus Kanan Pemasaran Kumpulan PKNS, Dr Alif Aiman Abdullah, kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri berhubung punca pemecatan serta merta 22 bekas kakitangan PHSB ini sentiasa berubah sehingga menyebabkan mereka ragu dan tidak berpuas hati.
"Sehingga hari ini kami tetap merasakan kami adalah mangsa dan kami masih tidak tahu kenapa kami dipecat. Jika dilihat apa yang ditulis dalam surat pemecatan, ia berhubung penstrukturan semula.
"Tapi setiap kali kami mendapatkan pengesahan kenyataan itu, setiap hari ada kenyataan baru daripada PKNS dan kerajaan negeri Selangor dan ia sentiasa berbeza.
"Begitu banyak alasan yang salah atau mungkin tidak benar. Saya pun tidak tahu apa lagi yang boleh dikatakan," kata beliau yang ditemui di perkarangan Pejabat Jabatan Perhubungan Perusahaan Negeri Selangor di sini hari ini.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataannya sebelum ini menafikan bahawa perbadanan tersebut memberhentikan lebih 22 kakitangannya, sebaliknya mengatakan bahawa kontrak pekerja tersebut tidak disambung.
Tidak lama kemudian, PKNS pula tampil memberi kenyataan bahawa keputusan tersebut diambil atas dasar mahu melaksanakan penstrukturan korporat dan bagi mengelakkan pertindihan tugas berlaku antara kakitangan PHSB dan kakitangan PKNS yang sedia ada.
"Keputusan tersebut dibuat dalam satu operasi penyusunan semula organisasi sumber manusia bagi mengelakkan pertindihan tugas selaras dengan polisi tadbir urus PKNS yang mengutamakan perkhidmatan cekap dan "value for money".
"Walau bagaimanapun, setelah mengkaji keputusan tersebut, PKNS berpandangan tiada keperluan untuk meneruskan perkhidmatan 20 pegawai tersebut memandangkan kepakaran dan pengalaman yang sama sudahpun sedia ada di kalangan pegawai tetap di PKNS," petik kenyataan rasmi perbadanan tersebut.
Tidak lama kemudian, alasan lain yang dikemukakan berhubung pemecatan tersebut adalah kerana kesemua mereka diambil bekerja tanpa melalui prosedur yang betul, iaitu tanpa melalui temuduga terbuka.
Bagaimanapun Dr Alif berkata mereka diambil bekerja melalui prosedur yang betul di mana perlu melalui temuduga bersama pihak PKNS.
"Kami diambil oleh PKNS sendiri. Bukan daripada kami sendiri. Ia satu proses yang sukar dan kami di temuramah oleh pihak atasan PKNS sendiri. Mereka yang mengambil kami bekerja.
"Kalau ada pertindihan jawatan, kenapa kami semua ada kontrak yang diperbaharui dan diberikan tugasan untuk dipertanggungjawabkan?," ujarnya.
Selain daripada itu beliau mendakwa pihak tertentu tidak mengamalkan integriti lantaran terdapat pendedahan nilai pendapatan mereka di internet.
"Semua nilai gaji kami didedahkan di internet. Di mana nilai integriti di sini? Apa siasatan yang dibuat oleh PKNS, siapa individu ini sehingga mendedahkan semua ini. Adakah ini budaya baru dalam penyiasatan?," soalnya.
Justeru beliau berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan adil.