Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar persoal pihak mana yang lembab dalam menangani kes-kes melibatkan rasuah.
KUALA LUMPUR: PAS menggesa Peguam Negara (AG) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bila tarikh baru siasatan penyelewengan dana 1Azam yang melibatkan seorang bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri akan dikemukakan.
Menurut Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, pihak AG telah mengeluarkan kenyataan bahawa kes ini masih dalam siasatan pihak SPRM.
“Jadi saya ingin mendapatkan penjelasan disebalik kenyataan yang dibuat pihak AG iaitu apakah perkara-perkara yang dilihat oleh pihak AG hasil daripada siasatan awal yang telahpun dikemukakan pihak SPRM yang memerlukan kepada siasatan lanjut.
“Adakah pihak AG beri satu tempoh masa untuk SPRM mengemukakan hasil siasatan kedua iaitu atas isu bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil iaitu Datuk Suhaimi Ibrahim dan juga seorang lagi pengarah syarikat yang dituduh dalam kes pecah amanah dan dalam kes penipuan yang membabitkan lebih kurang RM2.2 juta dalam projek 1Azam yang dilakukan dibawah kementerian (Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Shahrizat pada waktu itu,” soal Mahfuz dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.
Mahfuz turut menyoal berapa lama masa yang diperlukan SPRM sendiri untuk melakukan siasatan lanjutan.
“Sebab kenyataan SPRM sendiri seperti yang sebut sebelum ini, selepas kedua-dua orang ini diikat jamin, SPRM menyatakan bahawa mereka akan didakwa pada hujung Jan atau awal Feb.
“Tetapi hingga hari ini, tidak kedengaran (apa-apa) dan banyak pihak termasuk badan panel bebas dibawah SPRM juga tidak berpuas hati dan mengemukakan, mendapatkan penjelasan dari pihak AG.
Jadi kita nak tahu juga berapa lama pula SPRM perlu mengambil masa,” kata Mahfuz lagi.
Tambah Mahfuz, beliau sendiri keliru kerana badan panel bebas ini sendiri tidak tahu akan arahan AG supaya SPRM menjalankan siasatan lanjutan.
“Sedangkan sebelum mereka pergi kepada AG, mereka telahpun memberikan kenyataan tentang ketidak puasan hati mereka. Jadi sepatutnya SPRM boleh maklumkan kepada panel bebas ini yang diketuai oleh Datuk Johan Jaafar, tetapi dia terus pergi kepada AG dan AG yang jelaskan kepada mereka bahawa kes masih dalam siasatan SPRM.
“Jadi saya agak keliru dalam hal ini, adakah benar apa yang dinyatakan AG ataupun ada usaha untuk menutup perkara-perkara ini. Jadi saya menuntut penjelasan daripada pihak AG dan SPRM supaya tidak persepsi yang tidak sihat terhadap isu ini,” tegasnya.
Menurut Mahfuz, tempoh mengemukakan hasil siasatan lanjutan mesti dikeluarkan sambil menambah AG perlu ingat dengan ungkapan ‘justice delay is justice denied’.
Tambah beliau lagi, AG dan SPRM juga masih membisu berhubung penyiasatan keatas 60 orang Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah sebelum ini.
“Soalan saya adalah mudah, adakah AG atau SPRM yang lembab dalam menangani dan mengambil tindakan dalam hal-hal yang berkaitan rasuah, memandangkan kedua-dua institusi ini dibawah Perdana Menteri.
“Ataupun, adakah yang paling lembab ialah Perdana Menteri sendiri dalam hal ini,” soalnya lagi.
Dalam pada itu, Mahfuz turut meminta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin segera menangani isu ketidak puasan hati warga guru berkenaan dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana beban yang berat yang terpaksa dipikul mereka.
Menurutnya, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan tidak seharusnya menunggu sehingga guru-guru berdemonstrasi sebelum mengambil tindakan.
“Saya minta sistem ini ditangguhkan sementara waktu sehingga dibawa kedalam perundingan bersama dengan persatuan guru-guru yang ada.
“Kalau sistem ini tidak baik, jadi kita kena tukar atau buang atau kembali kepada sistem asal tetapi ditingkatkan keupayaan guru itu sendiri untuk melihat bagaimana pencapaian yang boleh ditingkat kepada murid sendiri,” katanya.
Menurutnya, Muhyiddin sepatutnya berinteraksi terus dengan persatuan guru-guru dan bukannya hanya mengeluarkan kenyataan politik dalam perhimpunan agung Umno mengenai isu ini.