Apa kaitan menghantar memorandum kepada Rafizi
PETALING JAYA:SAMM Pulau Pinang menyelar tindakan kurang cerdik NGO (pro Umno) membuat provokasi kekecohan dengan memaki hamun di Program Ceramah bersama ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Sim Tze Tzin, Haji Rashid Hasnon dan Pemimpin Pakatan Rakyat setempat di Bukit Gedung Pulau Pinang, malam semalam.
Menurut Penyelaras SAMM Pulau Pinang, Aidil Ibrahim, Rafizi telah didatangi oleh beberapa individu yang ingin menyampaikan memorandum notis kononnya terdapat perobohan rumah, dan Rafizi menerima memorandum tersebut dengan baik.
“Namun tidak dapat dikesan apakah angin yang tiba-tiba melanda jiwa penghantar memorandum ini apabila naik berang dengan Rafizi,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada FMT.
Beliau berkata mujurlah SAMM Pulang Pinang yang menjadi sebahagian penganjur bertindak pantas melerai dan menempatkan Rafizi ke tempat lebih selamat dan memberikan penjelasan lanjut di atas sifat budi bicaranya melayan setiap persoalan yang ditimbulkan.
“Dari kekecohan yang berlaku, timbul beberapa persoalan antaranya siapa sebenarnya yang serang siapa dulu dengan membuat provokasi dan di program siapa?” soal beliau.
Aidil bertanya lagi, apa kaitan dengan penyerahan memorandum dan notis roboh rumah di Waterfall Pulau Pinang kepada Rafizi ahli Parlimen Pandan?
Beliau mendakwa selepas selesai insiden di ceramah Bukit Gedong kelihatan individu yang menganggu dan yang ingin serahkan notis tersebut bersama Timbalan Ketua Menteri berbincang tentang pekara tersebut di Nasi Kandar Kassim Mustapa, ada cara mudah untuk berjumpa tapi kenapa pada awalnya perlu membuat kecoh di tempat ceramah?
Beliau menambah SAMM Pulau Pinang mengutuk keras tindakkan melulu beberapa individu yang membuat kecoh di majlis Pakatan Rakyat, menjerit-menjerit memaki hamun penceramah yang hadir ini hanya berlaku dari kalangan penyokong Umno yang kian lupa diri.
Katanya, SAMM Pulau Pinang menjangka bahawa sebenarnya mereka terdesak untuk mencari isu untuk menyerang Pakatan Rakyat.
” Mereka menggunakan media massa pro kerajaan yang hadir semalam untuk memanipulasi isu.
Tetapi mereka tersilap langkah, kerana kami tidak berminat melayan provokasi yang cuba di timbulkan. Penyokong dari Pakatan Rakyat tidak mudah termakan provokasi,” tegasnya.
Turut hadir semalam lebih kurang 6 orang Pegawai Cawangan Khas tetapi mereka berjaya mengawal keadaan. Penyokong Pakatan Rakyat juga berjaya menenangkan keadaan untuk mengelakan daripada berlaku insiden yang lebih buruk.