Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan peletakan jawatan Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy sebagai bukti kegagalan Putrajaya melaksanakan tanggungjawabnya.
Semalam, usaha transformasi yang cuba dibawa dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dilihat tidak membuahkan hasil, setelah Hindraf mengumumkan peletakan jawatan pengerusi mereka.
"Kita sambut baik sama ada dia daripada awal tidak menyertai, kerana kita tidak percaya ada kesungguhan di pihak kerajaan Umno-BN untuk melaksanakan janji sebelum PRU yang Najib tandatangani," kata Anwar dalam sidang media di Puchong hari ini.
Waytha Moorthy sejak awal lagi dilihat sukar untuk bekerja dengan pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya daripada Umno, perbezaan pendiriannya dengan pemimpin dalam pentadbiran Najib menjadi batu penghalang usahanya untuk bekerjasama.
Sejak awal lagi bibit ketegangan kelihatan, Waytha Moorthy menerima tamparan pertama apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengecamnya supaya meletak jawatan kerana mempersoalkan tindakan pihak berkuasa polis.
Selain mempunyai perbezaan pandangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ultra-Melayu juga memberi tekanan kepada Waytha Moorthy.
Waytha Moorthy gagal membawa pembaharuan yang drastik, khususnya kepada masyarakat India, kerana tiada kerjasama daripada pemimpin Kabinet lain.
Bagi ketua umum PKR itu, Najib hanya lebih bergimik dan tidak serius terhadap janji pembaharuan yang dicanangkannya kepada rakyat.
"Kita lihat ini hanya lebih kepada gimik politik dan tidak bermaksud untuk melaksanakan apa-apa perubahan," katanya lagi.
Bagaimanapun, Anwar berharap Waytha Moorthy tidak patah semangat dan menyambut baik ketegasan yang ditunjukkannya dengan meletakkan jawatan.
"Apa-apa pun kita sambut baik keputusan dia meletakkan jawatan dan harap dia bekerja untuk rakyat dan masyarakat miskin," tambah Anwar lagi.
Kurang tiga minggu sebelum pilihan raya umum ke-13, Waytha Moorthy menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan BN yang diketuai Najib, langkah yang dilihat bertujuan untuk memulihkan kedudukan ekonomi masyarakat India selepas rundingan dengan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) gagal.
Beberapa hari selepas menandatangani dokumen tersebut, abangnya dan juga pengasas bersama P Uthayakumar berkata Waytha Moorthy telah dipecat daripada pergerakan tersebut sebagai pengerusi.
Hindraf atau Hindu Rights Action Force, banyak yang berlaku selepas gerakan tersebut memimpin lebih 30,000 kaum India yang marah berarak menentang kerajaan beberapa bulan sebelum pilihan raya 2008 yang bersejarah.
Kumpulan tersebut dilihat berpecah, dengan sesetengahnya menyertai Parti Makkal Sakhti Malaysia (MMSP), ada yang menyokong BN dan selebihnya menyertai parti PR, terutamanya DAP dan PKR.
Najib kemudian membuat langkah mengejut apabila melantik Waytha Moorthy sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Pelantikan beliau dilihat lebih kepada ganjaran kerana kejayaan mengembalikan semula sokongan masyarakat India kepada BN selepas pilihan raya umum 5 Mei tahun lalu.