KUALA LUMPUR: Bekas peguam, Kamal Hisham Jaafar menasihatkan Kerabat Diraja Johor supaya merujuk perjanjian sebenar mengenai penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, seterusnya Malaysia dan bukan hanya membacanya di laman sosial seperti Facebook.


Menurutnya, itu adalah nasihat ikhlas beliau kepada Kerabat Diraja Johor.

“Setelah membaca di akhbar dan media sosial tentang ‘amaran’ atau mungkin juga boleh terjumlah sebagai ‘hasutan’, bahawa Johor hendak keluar dari Malaysia, saya hanya ketawa namun sempat juga beristighfar.

“Tiada apa-apa peruntukan di dalam Perjanjian Persekutuan yang membolehkan atau membenarkan Johor untuk keluar dari Malaysia.

“Dakwaan kononnya di dalam Perjanjian itu terkandung ‘Peruntukan Istimewa kepada Johor’ lebih dari negeri-negeri lain seperti dakwaan pertama, Johor sepatutnya menjadi Yang Dipertuan Agong yang pertama dan kedua, Angkatan Tentera Johor (JMF) tidak boleh diusik dan beberapa perkara lain, adalah tidak benar,” kata Kamal Hisham seperti yang dipetik dari laman Facebook miliknya.
Antara foto artikel yang dimuat naik Kamal Hisham.
Antara foto artikel yang dimuat naik Kamal Hisham.

Kamal Hisham berkata, legasi itu sebenarnya tidak wujud dan beliau berpendapat tindakan itu sebagai ‘syok sendiri’.

“Perjanjian 1885 sudah lapuk telah lama di atasi oleh perjanjian-perjanjian selepas itu dan lebih mendukacitakan, Sultan Johor adalah Sultan yang mengkhianat rakyat Johor dengan menjadi sultan pertama yang serah semua kuasa kepada British sewaktu Malayan Union.

“Kesultanan Johor sudah tiada apa selepas itu. Nasib baiklah beberapa pemimpin Melayu melawan Sultan dan British untuk menyelamatkan negeri Johor,” dakwa Kamal Hisham.

Beliau juga medakwa Mahkamah Rayuan pada satu ketika dulu juga pernah mengatakan bahawa Sir Sultan Ibrahim bukan Raja berdaulat dan ini bermakna juga Johor bukanlah Negeri Berdaulat.

“Bacalah sejarah secara teliti sebelum ‘gatal tangan’ nak buat posting di Facebook atau Instagram.

“Saya berharap Kerajaan Persekutuan bertindak tegas di dalam isu menghasut memecah belah Wilayah Malaysia,” katanya.