Alif Mustapha
KUALA LUMPUR - Penyebaran poster Calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tertera tulisan 'PRK N25 Harga Satay Saya Akan Turunkan Sikit' yang mula tersebar di media sosial sejak lima hari lepas mendapat respon baik masyarakat yang tertarik dengan perkataan 'Harga Turun'.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang dilihat konsisten dengan kenyataan menurunkan harga sesuatu barang bagaimanapun masih belum berupaya menunaikan hasratnya itu berikutan gagal merampas pemerintahan kerajaan persekutuan daripada Barisan Nasional (BN).
Pada sambutan Tahun Baru Cina 2012 lalu, Anwar dalam jelajah politiknya sudah mula bertegas untuk menurunkan harga minyak petrol sekiranya berjaya menjadi ketua pemerintah pada pilihanraya umum ke 13 (PRU13).
Bahkan janji-janji seperti menurunkan harga barangan keperluan termasuk memberi pembiayaan pendidikan percuma menjadi bahan utama dalam kempen Anwar meraih undi. " (Link Video )
Kempen Anwar bukan sahaja menjurus kepada sasaran PRU13 malah ia digerakkan sejak sekian lama, sebaik dibebaskan daripada penjara Sungai Buluh sekitar penghujung 2004 setelah hampir enam tahun menjalani hukuman atas kesalahan luar tabii, liwat.
Dalam kempen pertama Anwar bagi PRK Kajang ini bermula dengan berita hangat siaran media bertajuk 'JAIS dan MAIS yang Pertama Halang Kempen Anwar' sebagaimana keluaran lidah rasmi media online pro pembangkang. Lebih menarik, tulisan berkenaan ditertawakan kebanyakan blog pro kerajaan apabila ia seolah-olah membenarkan agenda politik dibawa masuk ke dalam rumah ibadah seperti masjid. Malah pengurusan kempen Anwar yang dilihat mempersoalkan status 'tauliah' sebelum layak memberi tazkirah mendapat kecaman blog pro kerajaan.
Anwar dan PKR sudah mula menggerakkan kempen PRK Kajang bahkan mengadakan sidang media untuk menamakan Ketua Pembangkang sebagai calon menjadi tanda tanya kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak membuat sebarang kenyataan rasmi mengenainya lagi.
Namun, persoalan itu mula terjawab apabila Anwar dengan jujur mengakui bahawa PRK Kajang ini merupakan agenda terancang serta mengatakan dunia politik memerlukan sedikit kejutan.
Rata-rata penganalisis politik mempunyai pandangan yang berbeza apabila negara dikejutkan dengan perletakan jawatan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Lee Chin Cheh (PKR) hujung Januari lalu. Kekosongan kerusi terbabit seterusnya meletakkan Anwar Ibrahim selaku calon sebagaimana yang diumum Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Selain berjaya menutup beberapa isu termasuk konflik dalaman parti PKR, ia juga menjadi lembaran baru buat karier politik Anwar Ibrahim sebagai tapak untuk menawan Putrajaya sekiranya diberi mandat penduduk Kajang sebagai undi permulaan.
Pengundi di DUN Kajang mungkin mampu mengukir senyuman apabila dapat menikmati penurunan harga satay sebagaimana janji Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam majlis taklimat PKR sempena PRK Dun Kajang, di Dewan Orang Ramai Sungai Sekamat pada 29 Januari lalu yang mengatakan ia mampu direalisasikan sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh kemenangan di Dun Kajang.
Rekod pada PRU13 lalu menunjukkan bangsa Melayu menguasai senarai daftar pengundi iaitu seramai 49% dalam pecahan kaum. Pengundi Cina pula seramai 40%, India 10% dan lain-lain 0.91%. SPR dijangka akan mengadakan sidang media berkaitan PRK Kajang pada 5 Febuari ini.