Oleh Aspan Alias
PKR dan Anwar menganggapkan apabila memenangi PRK Kajang yang bakal berlangsung itu, ia akan memperkuatkan kedudukan beliau dalam perjalanan yang berliku ke Putrajaya, cita-cita yang tidak pernah padam dalam jiwa beliau sejak dahulu lagi. Perjalanan beliau ke Putrajaya yang sudah hampir ke garis penamat, tetapi telah tersekat oleh kerana disekat oleh Dr Mahathir pada tahun 1998 dahulu. Beliau dipecat dari parti dan jawatan beliau pada 2hb September 1998 oleh bos beliau sendiri.
Sekarang Anwar terpaksa kembali ke garisan permulaan semula dan tidak siapa tahu samada beliau akan berjaya atau akan gagal ke Pejabat Perdana Menteri, pejabat idaman beliau itu. Beliau tahu jika beliau duduk dalam Pejabat itu beliau akan mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia, jawatan yang boleh memenjarakan atau melepaskan sesiapa dari penjara kepada sesiapa yang beliau suka. Jawatan PM Malaysia itu lebih hebat dari kuasa yang ada kepada Presiden Negara Amerika Syarikat.
Apabila sudah berada disana beliau boleh membalas kembali tindakan oleh sesiapa yang beliau anggap telah membantut usaha beliau untuk ke mercu kuasa suatu ketika dahulu. Beliau telah melakukan banyak perkara dan kaedah untuk menuju ke puncak idaman beliau itu dan yang terakhir ini ialah untuk duduk dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, dan jika di perkenankan Tuanku Sultan beliau mahu menjadi Menteri Besar Negeri terkaya ini.
Tindakan beliau untuk mendapatkan kemahuan beliau itu tidaklah tindakan yang salah. Hidup hanya sekali, dan menjadi Perdana Menteri itu juga adalah sekali, melainkan ada beberapa tokoh didunia yang menjadi PM lebih dari sekali. Dari segi demokrasinya sememangnya tidak ada langsung kesalahan beliau bertindak meminta seorang ADUN Kajang itu turun untuk memberikan laluan untuk beliau menawarkan diri untuk mewakili kawasan itu. Undang-undang pun tidak mencegah beliau mengambil tindakan itu.
Tetapi dalam politik selalunya orang tidak hanya bersandar kepada undang-undang sahaja. Dalam demokrasi ada elemen moralnya juga dan ia perlu diambil kira kerana yang hendak ditadbir oleh demokrasi itu adalah manusia, kejadian Tuhan yang tidak statik. Manusia bukan sebagai makhluk yang lain seperti batu yang besar yang susah untuk dianjak dan dialih.
Manusia tidak seperti haiwan yang boleh dikurung dan disembelih dan dijadikan masakan dan hidangan yang enak-enak dan juga tidak boleh dianggap sebagai angin dan membiarkan sahaja ia berlalu tanpa diambil perhatian. Hanya jika dipandang dari sudut moralnya tindakan Anwar itu boleh dipersoalkan kerana kawasan itu baru juga menghadapi pilihanraya umum seperti juga kawasan-kawasan lain pada mei tahun lepas.
Ia terjadi semata-mata kerana kemahuan Anwar yang di galakkan oleh beberapa orang pemimpin di dalam PKR yang agak bercita-cita tinggi sambil mengaku yang beliaulah yang bertanggungjawab yang menyebabkan Anwar bertindak demikian. Dalam usaha melaksanakan apa yang dikatakan strategi jalanan ke Putrajaya Anwar itu ia telah mengusik dan meluluhkan perasaan beberapa orang pemimpin yang lain dalam parti itu. Ia juga telah mengusik dan memilukan pimpinan sebuah parti yang lain dalam Pakatan itu.
Segala yang baik sudah dianggap buruk. Dimana-mana pujian kepada TS Khalid sebagai seorang Menteri Besar yang mempunyai ‘consequence’ yang besar dalam memberikan pentadbiran yang bersih dan berjaya, telah dianggap sebagai buruk sebaik sahaja Anwar mengumumkan bertanding di Kajang dan mempunyai kecenderungan untuk menurunkan Khalid dan jawatan MB itu diambil alih oleh Ketua Pembangkang itu. Ada sahaja kesalahan Khalid sekarang ini.
Sekarang ini berbagai-bagai alasan sedang dikilang oleh mereka dalam PKR itu sendiri untuk memberikan keyakinan ramai yang Khalid sudah tidak berguna lagi dan cara penyelesaiannya ialah dengan Anwar sendiri mengambil alih jawatan itu untuk mendiamkan mana-mana pihak yang mengidamkan jawatan MB itu termasuk Azmin sendiri.
Bagi Azmin agaknya ini tentulah jalan terbaik baginya kerana beliau tidak mahu Khalid berada di kerusi MB itu berterusan. Beliau boleh menerima Anwar duduk ditempat itu dari melihat Khalid yang beliau tidak sebulu sejak dari dulu lagi terus menduduki jawatan MB itu. Bak kata orang tua-tua dahulu tindakan Azmin bersetuju Anwar menjadi MB itu, adalah seperti ‘mati bawa najad’. ‘Asalkan sahaja Khalid tidak lagi berada di sana biar Anwar yang ambil alih. Aku tak dapat kau pun kena berhenti’.
Anwar mengambil kesempatan ini secara ‘expedient’ dan ia menepati strategi beliau hendak melangkah ke Putrajaya nanti. Itu matlamat beliau dan itu ‘ultimate’ bagi beliau. Samada cita-cita beliau itu berjaya di perolehi, itu terpulanglah kepada Maha Penentu, kerana seseorang itu boleh merancang, Maha Penentu juga yang akan meletakkan siapa di tempat idaman banyak pemimpin itu.
Banyak faktor penting perlu diingati oleh Anwar dan PKR dalam perjalanan ke Putrajaya itu. Kita adalah manusia dan mempunyai roh masing-masing yang merupakan bahagian yang akan menghadapi bahagia atau celaka itu. Kita di pengaruhi oleh dosa dan pahala dan kita yang sebenar-benarnya kita itu ditadbir oleh semua elemen yang ini. Semua orang percaya kepada isu ini, melainkan mereka yang tidak mahu percaya apa yang disebut oleh agama masing-masing.
Dalam bahasa Inggeris ada perbilangan, ‘what goes around comes around’ dalam agama mana-mana sekali pun ada kepercayaan kepada elemen ‘cause and effect’. Apa yang berlaku baik buruknya terbabit banyak isu kita sendiri. Jika kita berjenis baik, maka ‘effect’ nya akan menjadi baik. Begitu juga sebaliknya.
Saya menyebut isu ini supaya kita dapat menerima hasil tindakan kita itu, sebagai kehendak Ilahi. Jika berjaya kita syukurinya dan jika gagal kita anggap sebagai proses pembersihan terhadap diri kita sendiri dan itu adalah yang paing baik sekali bagi seseorang manusia itu.
Jika kita dapat menerima hakikat ini maka kita akan bersyukur diatas kejayaan kita dan jika gagal kita juga akan bersyukur kerana pembersihan keatas diri kita sebagai ‘ultimate’ kepada perjuangan manusia yang akhirnya akan mengadap yang Maha Esa di arash nanti.
Dalam kita mentarbiah secara zahiriah keadaan disekeliling kita itu, kita juga berhak untuk memberikan ulasan terhadap sesuatu tindakan manusia itu termasuk tindakan Anwar dan penyokong-penyokongnya itu. Ada yang mengatakan ini akan mendapat kejayaan baginya dan ada yang berkata yang ia akan terhempas sebelum terbang lagi. Masing-masing mempunyai keupayaan berfikir dan ia mempunyai had keupayaannya. Ada telahan masing-masing yang benar dan ada yang salah diakhirnya nanti.
Bagi diri saya secara hakikatnya saya percaya yang Anwar mempunyai banyak isu lagi yang perlu beliau perbetulkan dan setakat yang beliau lakukan sekarang ini, dalam pemikiran saya, tindakan Anwar ini tidak akan membawa beliau kemana-mana. Ini pandangan saya dan saya tidak marah kepada sesiapa yang mempunyai pandangan yang berlainan dari kepercayaan saya ini.
Kita tidak perlu berbalah jika masing-masing menghormati pandangan orang lain. Tidak salah jika orang lain merasakan yang Anwar akan menjadi PM misalnya, tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza pula. Itulah keadaan kita sesama manusia yang dijadikan oleh Tuhan sebagai secantik-cantik kejadian ini. http://aspanaliasnet.blogspot.com/