Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

PKR desak kuasa pertuduhan diberikan kepada SPRM

$
0
0
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Kuasa membuat pertuduhan perlu diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. Gambar fail.Kuasa membuat pertuduhan perlu diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. Gambar fail.





























PKR hari ini mendesak kuasa pertuduhan dalam kes rasuah diberikan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan pendakwaan terpilih tidak berlaku sekaligus mampu mengheret pihak yang didapati bersalah ke muka pengadilan, kata Rafizi Ramli.

Pengarah strategi PKR itu merujuk kepada pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang masih gagal dibawa ke mahkamah meskipun SPRM mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa pihak berkenaan.

“Dengan kuasa pendakwaan berasingan, perkara asas dapat dikembalikan. Selain memperkukuh undang-undang anti rasuah sedia ada, kita perlu meminda Perlembagaan agar kuasa pendakwaan diberikan kepada SPRM.

“Ini satu kes yang cukup jelas walaupun SPRM yakin dengan kes siasatannya sehingga mereka membuat pengumuman terus dua suspek ini akan didakwa di mahkamah pada keesokan harinya tetapi apabila kuasa mendakwa berada di tangan peguam negara, perkara sama berulang,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan spekulasi semakin memuncak menyatakan wujud campur tangan politik atau pendakwaan terpilih yang menyebabkan tuduhan terhadap bekas setiausaha politik Umno lewat dijalankan selepas ditangkap Isnin lalu berikutan penyalahgunaan RM1.1 juta daripada tiga yayasan.

Sumber berkata, bekas setiausaha politik dan pengarah salah satu yayasan itu dikaitkan dengan siasatan kerana dikatakan menggunakan wang yayasan yang sepatutnya digunakan untuk membantu golongan miskin itu bagi kegunaan politik.

Rafizi berkata, Jabatan Audit Negara (JAN) perlu segera menjalankan audit kepada program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) supaya penyelewangan yang berlaku dapat dikesan segera.

Katanya, audit berkala yang dilakukan JAN sehingga mencecah tempoh selama tiga tahun menjadikan kerugian dan penyelewengan berlaku dengan jumlah lebih besar.

“Selalunya audit dirancang mengikut giliran dengan JAN menentukan kementerian tertentu untuk diaudit. Jarak masanya pula mencecah tiga tahun. Pada masa itu banyak wang yang hilang dan projek gagal sepenuhnya.

“Saya menggesa JAN memberi keutamaan kepada projek berkepentingan awam yang disalah guna kerana jika ada masalah ia boleh dihentikan terus secepat mungkin. Isu penting ini hanya dapat ditangani oleh JAN yang mempunyai kuasa untuk memeriksa perkara ini. Audit itu perlu dibuat sekarang,” katanya.

September tahun lalu, Datuk Suhaimi Ibrahim, bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengakui beliau adalah individu yang ditahan oleh SPRM bagi tujuan siasatan.

Pada satu sidang media, Suhaimi berkata, beliau disiasat atas pertuduhan salah guna wang program 1Azam dan memberitahu sekurang-kurangnya tujuh individu daripada kementerian lain turut dipanggil bagi membantu siasatan.

Rafizi berkata, pada 2012, pembekal barangan program 1Azam berjumpanya mendakwa berlaku penipuan barangan program itu tidak sampai kepada isi rumah miskin sebaliknya dibekalkan kepada pimpinan kanan dan aktivis Wanita Umno setempat.

Katanya, harga perkakas yang dibekalkan juga jauh lebih rendah daripada tuntutan yang dibuat kepada kerajaan dan pembekal terpaksa membayar perbezaan harga sebenar kepada pegawai tertentu di kementerian.

“Contohnya, jika jumlah tuntutan beberapa perkakas adalah RM5,000, harga yang dibekalkan mungkin RM2,500 dan bakinya dibahagikan beberapa orang yang terlibat.

“Pembekal juga meminta saya menyiasat perkara ini kerana beliau rasa bersalah dengan penipuan yang melibatkan dana rakyat untuk membantu golongan miskin,” katanya yang menyifatkan perkara itu memalukan Umno kerana pengkhianatan tersebut lebih besar daripada skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Umno dan BN membiarkan rakyat termiskin diperatkan untuk mengayakan beberapa orang pegawai yang pecah amanah.

“Ia juga menggambarkan bagaimana puluhan ribu keluarga mungkin tertipu dengan perkakas yang dibekalkan dengan harga yang jauh lebih murah,” katanya.

Program 1Azam adalah sebuah inisiatif kerajaan di bawah kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diperkenalkan pada Januari 2010 bagi memberi peluang perniagaan dan pertanian kepada golongan miskin menceburi bidang tersebut.

SehinggaSeptember tahun lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat membelanjakan RM1.35 billion bagi menyediakan bantuan kepada 473, 928 penerima di seluruh negara.

SPRM minggu lalu berkata, mereka menahan dua lelaki termasuk seorang bekas setiausaha politik dengan gelaran datuk dan dijangka mendakwa mereka pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, SPRM berkata terdapat kesilapan dan individu berkenaan akan didakwa pada tarikh yang belum ditentukan. Kedua-duanya dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000.

Menurut kenyataan SPRM yang dikeluarkan oleh pengarah siasatannya, Datuk Mustafar Ali, kedua-dua lelaki berusia antara 30-an dan 50-an itu akan didakwa mengikut Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Selasa lalu atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM1.1 juta dan penipuan membabitkan RM1 juta.

Kenyataan itu berkata, bekas setiausaha politik dan pengarah berkenaan yang ditahan pada pagi dan petang 27 Januari dibebaskan dengan wang jaminan.

Katanya, ketiga-tiga yayasan yang terlibat dalam kes itu ditubuhkan pada 1980-an tetapi didaftarkan sebagai syarikat berhad dan bukan sebagai badan kebajikan.

Kedua-dua individu berkenaan adalah pengarah dan pemegang amanah salah satu yayasan dan SPRM difahamkan cara wang itu dikeluarkan bertentangan dengan objektif yayasan.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722