Ketua Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Mohd Azan Safar tetap meneruskan bantahan walaupun dirinya digelar "tidak bersyukur" oleh Biro Tata Negara (BTN).
Mohd Azan berkata, bantahan Turun berjaya diadakan minggu lalu di Pulau Pinang dan akan tetap meneruskan pergerakan ini untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang kenaikan kos sara hidup.
Baru-baru ini gambar beliau digunakan di sesi taklimat kepada pemegang biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dianjurkan BTN bagi mengingatkan pelajar agar tidak menentang kerajaan.
"Pelajar tidak perlu takut untuk mengambil bahagian dalam sebarang bantahan terhadap kerajaan kerana kita ada hak kebebasan untuk berbuat sedemikian.
"Saya tahu ada pelajar yang rasa tersepit oleh universiti yang berpendapat bantahan adalah tidak bagus, tetapi pelajar tetap tidak perlu risau," katanya kepada The Malaysian Insider.
Mohd Azan dimaklumkan mengenai gambarnya digunakan oleh BTN dalam kursus mereka oleh rakannya yang menghadiri kursus tersebut.
Beliau berkata, kursus itu bertujuan "mencuci otak" pelajar yang menerima biasiswa dan pinjaman daripada kerajaan.
"BTN ini banyak rahsia, itu masalahnya. Apa isi kandungan kursus mereka? Apa tujuan mereka dan dari mana mereka dapat berita," katanya.
Katanya, insiden tersebut tidak akan menjejaskan permohonannya untuk biasiswa Mara yang masih belum ditentukan lagi.
Mohd Azan mengetuai bantahan Turun pada ambang 2014 di Dataran Merdeka bagi membantah kenaikan kos sara hidup.
Kira-kira 20,000 rakyat mengambil bahagian dalam bantahan tersebut.
Mohd Azan turut menyokong dan mengambil bahagian dalam bantahan lain seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 hingga 2012 dan Gerakan Media Marah (Geramm) yang diadakan tahun lalu.
Sebelum bantahan pada malam ambang tahun baru berlangsung, Mohd Azan ditahan selama tujuh hari kerana dituduh mahu menggulingkan kerajaan.
Bagaimanapun, beliau dibebaskan selepas itu kerana tidak terdapat bukti mengaitkan beliau mahu menggulingkan kerajaan. -