Di sebalik sepanduk yang mencetuskan ketegangan hubungan antara kaum, sebuah kumpulan yang berbeza latar belakang agama hari ini menyerahkan buah limau mandarin, cenderahati dan bunga kepada sebuah gereja di Kajang dengan harapan hubungan antara agama dapat dipulihkan.
Ally Hazran Hashim dan rakannya yang terdiri daripada umat Islam dan penganut bukan Islam menyerahkan barangan itu dalam perhimpunan gereja pagi tadi.
"Saya mempraktikkan apa yang agama ajarkan. Islam agama keamanan. Saya percaya jika sesuatu dilakukan dengan niat yang baik, ramai akan menyedarinya. Kami membina kasih sayang," katanya.
Katanya, beliau berharap usaha kecil itu akan mampu membuka mata umat Islam dan agama lain untuk melakukan perkara sama.
"Bukan sahaja sebagai tanda kasih sayang kepada gereja tetapi di rumah ibadat lain seperti di masjid," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.
Ally Hazran, 46, berkata niatnya untuk menyampaikan cenderahati berkenaan disampaikan melalui laman sosial Facebook.
"Ia satu usaha di saat akhir. Saya utarakan niat itu dan mengundang rakan Facebook untuk menyertainya. Maka di sinilah kami hari ini menunjukkan kasih sayang kami kepada mereka,” katanya.
Perunding latihan itu berkata, aktiviti hari ini bagi menunjukkan semangat Malaysia dan niat yang baik kepada penganut Kristian bagi memberitahu tidak semua umat Islam bertindak ganas terhadap mereka.
"Kami tidak mahu rusuhan kaum tercetus lagi. Sudah terlalu banyak ketegangan kaum pada masa ini," katanya yang berbaju Melayu kuning dan bersongkok.
Beliau berkata, bukan sesuatu yang janggal berada di kawasan gereja kerana mereka juga dianggap sebagai rakan.
Ally Hazran adalah kumpulan kedua dalam tempoh sebulan menunjukkan solidariti kepada penganut Kristian.
Awal bulan ini, sekumpulan aktivis yang diketuai Datin Paduka Marina Mahathir menghadiahkan bunga kepada sebuah gereja di Klang tetapi kemudian disusuli dengan demonstrasi Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di kawasan berhampiran yang membantah penggunaan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan di gereja.
Ally Hazlan berkata, keputusannya untuk menunjukkan solidariti turut berkait rapat dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang apabila bahan letupan dilontar ke perkarangan gereja dan ancaman 13 Mei oleh Umno dalam satu demonstrasi di Seberang Jaya.
Katanya, kenyataan bersifat perkauman yang dilontarkan semasa sambutan Thaipusam turut menyumbang kepada keputusannya hari ini.
"Kita seharusnya mengelak daripada mengulas agama lain dan membiarkan mereka mengukuhkan agama dan kepercayaan sendiri," katanya.
R Puspanatahan, 53, berkata dalam situasi sekarang ini, Ally dan kumpulannya wajar dipuji kerana mengurangkan ketegangan kaum.
"Adakah aktiviti ini mampu menyelesaikan masalah? Tidak, tetapi usaha mereka dialu-alukan," katanya.
Beliau berkata hubungan kekeluargaan bersama umat Islam tetap dalam keadaan baik meskipun dengan isu kalimah Allah di Selangor.
"Kami tinggal di kuarters di mana 95% populasinya beragama Islam. Kami hidup dalam keadaan harmoni," katanya.
Paderi George Harrison berkata usaha yang dibuat Ally Hazran sewajarnya diteruskan.
"Saya selalu menggesa agar masalah dilihat dengan cara positif bagi membina persaudaraan dengan orang Islam," katanya.
Beliau berkata sikap kasih sayang sewajarnya disuburkan kepada murid sekolah.
Di bawah undang-undang Islam negeri Selangor, bukan Islam dilarang menggunakan kalimah Allah dan 34 perkataan bahasa Arab lain.
Penganut Kristian di Malaysia mewakili 9% populasi atau 2.6 juta. Dua pertiga daripada mereka terdiri daripada kaum Bumiputera yang tinggal di Sabah dan Sarawak serta menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan dalam ibadah mereka.