Kajang


WALAUPUN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum membuat pengumuman berhubung PRK Kajang, tetapi kawasan tersebut sudah mulai panas sejak penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR mengumumkan peletakan jawatan pada Isnin lalu.

Peletakan jawatan itu amat mengejutkan penduduk Kajang kerana kebiasaannya ianya berlaku disebabkan Adun meninggal dunia.

Dun Kajang boleh diibaratkan sebagai kawasan yang unik jika dilihat daripada trend pengundian sebelum ini.

Keputusan pilihan raya sejak 1999 sehingga tahun lalu menunjukkan berlaku beberapa kali perubahan di kalangan pengundi N25 itu.

Pemimpin yang dipilih oleh rakyat Kajang jelas sekali bertukar ganti di mana tiada seorang pun yang dikekalkan lebih daripada sepenggal.

Bukan sahaja bertukar ganti parti sebaliknya turut melibatkan calon yang bertanding.

Pada PRU13 lalu, Kajang merupakan antara Dun yang menyaksikan pertembungan melibatkan enam penjuru selain daripada Kota Damansara dan Kapar.

Pertembungan enam penjuru di Kajang itu agak mengejutkan kedua-dua calon dari PR, Chin Cheh dan calon BN, Lee Ban Seng yang pada asalnya dikatakan hanya akan bertembung satu lawan satu.

Perebutan itu bertambah menarik dengan kehadiran seorang calon daripada Berjasa dan tiga calon Bebas.

Chin Cheh diletakkan untuk bertanding di situ buat pertama kali menggantikan Lee Kim Sin (PKR) yang terkenal di Kajang.

Chin Cheh muncul pemenang  dengan menerima undi sebanyak 19,571 iaitu majoriti sebanyak 6,824 menewaskan Ban Seng.

Kemenangan itu mengekalkan kerusi PR yang selama ini disandang oleh PKR.

Ia merupakan majoriti agak besar dan boleh dikatakan sudah dijangka berdasarkan situasi semasa.

Situasi tersebut dilihat kerana sentimen nasional di mana sebahagian besar penduduk bandar mahukan perubahan kerajaan.

Ia mungkin di atas faktor dimomokkan dengan slogan dilaungkan PR iaitu ‘Ini Kalilah’.

Malah kerajaan PR di Selangor semakin mencengkam apabila menyapu 44 kerusi Dun di Selangor berbanding BN yang semakin merosot memperoleh 12 kerusi sahaja.

PKR memperoleh 14 kerusi manakala Pas dan DAP masing-masing 15 kerusi.

Di peringkat parlimen pula, PR berjaya menyapu semua parlimen di ibu negeri kecuali Johor Bahru dan Kangar.

Jika diimbas kembali PRU10 lalu pada 1999, Dr Shafie Abu Bakar (Pas) berjaya merampas kerusi tersebut daripada Choong Tow Chong yang merupakan penyandang.

Kemenangan tersebut agak dramatik kerana hanya dibezakan dengan majoriti amat kecil iaitu sebanyak 37 undi.

Difahamkan, ia mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan BN yang merujuk perkara tersebut di mahkamah.

Shafie berkata, sekurang-kurangnya 10 kali beliau ke mahkamah berhubung kes tersebut melibatkan kos guaman sebanyak kira-kira RM30,000.

Ketika itu Pas sudah pun menyertai Barisan Alternatif (BA) yang wujud sejak 1999 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, pada PRU11, Low Lee Leng (BN) merampas kerusi tersebut apabila menumpaskan Kim Sin.

Namun kerusi tersebut kembali berpindah di tangan PR pada 2008 melalui kemenangan Kim Sin yang membalas dendam terhadap Lee Leng dengan majoriti sebanyak 3,268.

Jumlah majoriti tersebut lebih besar jika dibandingkan sewaktu Lee Leng memenangi kerusi itu pada 2004 iaitu 2,773.

Jumlah pengundi pada 2008 adalah sebanyak 29,868 dengan pecahan pengundi Melayu 46.6 peratus, Cina (44.1) India (8.7) Lain-lain (0.6).

Tahun lalu ia menunjukkan peningkatan jumlah pengundi kepada 38,965 dengan pecahan Melayu (48.48), Cina (40.46), India (10.15).

Berdasarkan beberapa keputusan PRU lalu, tidak mustahil PRK akan datang menampilkan Anwar sebagai calon PKR bakal mendapat tentangan sengit daripada calon yang masih belum dinamakan BN

Anwar dilihat sebagai calon bertaraf ‘menteri’ yang sukar ditumbangkan malah imejnya di kalangan penyokong PR disegani.

Cuma apa yang boleh menggugat keputusan PRK nanti adalah tindakan Chin Cheh yang secara tiba-tiba meletakkan jawatan itu dianggap seolah-olah mengkhianati kepercayaan diberikan oleh rakyat bagi membolehkan beliau diberi mandat pada PRU13 lalu.

Pengundi Kajang juga sudah membuktikan beberapa kali menukar pilihan mereka.

Bagaimana pula kali ini?