SHAH ALAM - Tiada syarat dalam perlembagaan Selangor menggariskan individu yang dilantik sebagai menteri besar perlu berasal daripada negeri ini.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood bagaimanapun berkata, pelantikan menteri besar wajib mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Mengikut perlembagaan negeri di bawah perkara 51 dan 53, syarat kelayakan untuk menjadi menteri besar ialah Melayu, beragama Islam, ahli dewan undangan negeri dan yang paling penting ialah mendapat perkenan sultan dengan sokongan majoriti ahli dewan undangan negeri (Adun),” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Portal berita sebelum ini melaporkan Menteri Besar Selangor, bersetuju meletak jawatan sebagai menteri besar dalam masa terdekat.
Laporan turut berkata sumber dalaman PKR menyebut Abdul Khalid dijangka mengumumkan keputusan tersebut, hari ini.
Spekulasi turut mengaitkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
“Tiada syarat menteri besar mesti rakyat Selangor, maka Anwar layak dengan syarat mesti Adun Selangor.
“Apa yang penting, kita perlu faham yang sultan di sesebuah negeri itu yang berkuasa mutlak dalam menentukan siapa yang dilantik sebagai menteri besar,” kata Kamal.