Alif Mustapha
KAJANG - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menyifatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang sebagai 'lembu' berikutan tindakan drastiknya meletakkan jawatan secara tiba-tiba untuk memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, kaum Cina dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) diibarat seperti 'boneka' kerana menjadi alat permainan Anwar dalam usaha untuk meraih perhatian rakyat dan memiliki kuasa.
"Salahkan Barisan Nasional (BN) disebabkan undi Bangladesh dan isu 'Blackout'. Ini semua pembohongan dan (Anwar) penipu besar.
"Hari ini wakil rakyat Cina (ADUN Kajang) itu pula jadi lembu, orang Cina dalam PKR jadi boneka. Biasa orang Cina pandai tapi kini jadi bodoh," katanya kepada pemberita dalam sidang media bersama peniaga-peniaga kecil di Taman Mesra di sini hari ini.
Tambahnya, keputusan meletakkan jawatan secara tiba-tiba itu merupakan tindakan yang tidak sewajarnya berlaku apatah lagi insiden merobohkan gerai peniaga kecil Bumiputera baru sahaja berlaku.
"IKHLAS sudah membuat kajiselidik di N25 Dun Kajang bahawa terdapat seramai 38,965 orang pengundi. Pengundi berbangsa Melayu 48.48 peratus manakala pengundi Cina 40.46 peratus. Daripada peratusan undi Melayu itu, 15 peratus adalah peniaga kecil, manakala daripada peratusan pengundi Cina pula, 35 peratus adalah dikalangan peniaga-peniaga kecil dan sederhana,"
"Isu ekonomi melibatkan peniaga khususnya peniaga Melayu ini adalah mereka seringkali ditindas dan dizalami oleh wakil rakyat," tegas beliau.
Sehubungan itu IKHLAS bersama-sama dengan para peniaga kecil dan sederhana akan berkempen untuk menolak parti yang pernah menindas dan merobohkan gerai mereka.
"Dalam kempen ini IKHLAS bersama peniaga kecil khususnya yang pernah ditindas akan berkempen habis-habisan,"
"Dalam masa sama IKHLAS juga mencabar Anwar supaya mengeluarkan lesen perniagaan kepada para peniaga kereta terpakai kerana peniaga Cina ini semuanya tiada lesen. Jika ada rasa bertanggungjawab, bayar pampasan kepada peniaga yang ditindas ini , kerugian mereka dianggarkan RM20 ribu ke RM50 ribu bagi setiap peniaga," ujar beliau.
Pada 30 Oktober tahun lepas kira-kira 70 orang anggota MPKj bertindak merobohkan gerai para peniaga Melayu di Taman Mesra, atas alasan mereka (peniaga) berniaga dengan membina bumbung kekal dan menyediakan peralatan seperti kerusi dan meja.