Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Najib lemah, gagal pertahan kalimah Allah, kata Pemuda Perkasa

$
0
0
OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Sayap pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) menyelar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilihat "membisu" terhadap isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris (gambar) dalam blog miliknya berkata, Najib dilihat "tidak bijak" menangani isu berkenaan apabila gagal mempertahankan kalimah yang dianggap sebagai eksklusif kepada umat Islam di negara ini.

"Kita dapat melihat kepimpinan negara amat lemah sehinggakan tidak dapat mempertahankan kalimah ini lalu menjualnya kepada agama lain pada April 2011,” kata Irwan merujuk kepada penyelesaian 10 perkara yang ditawarkan Putrajaya dengan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Al-Kitab dan upacara keagamaan lain menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

"Secara terang perdana menteri tidak tahu apakah tugasnya selaku perdana menteri.”
Irwan yang dikenali sebagai individu yang lantang sebelum ini juga secara terbuka pernah menuntut Najib meletak jawatan ekoran gagal menguruskan negara dengan baik.

Kenyataan yang dikeluarkan dalam tulisan di blognya bertajuk "Sudah Cukup Segalanya Digadai, Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan" berkata perdana menteri itu sudah diberikan masa mencukupi, malah Perkasa juga jelasnya menuntut Najib segera berubah dan mengutamakan kumpulan pengundi Melayu yang memilih untuk mengekalkan kerajaan.

Namun beliau menyuarakan kekesalan apabila Najib jelasnya masih berpeluk tubuh tanpa sebarang tindakan.

"Perkara terbaik dia buat adalah letak jawatan kerana keadaan semakin teruk, tidak bertambah baik," katanya.

Mengulas berkenaan isu kalimah Allah yang menjadi pertikaian antara komuniti Islam dan Kristian, Irwan berkata, perkara itu seharusnya dirujuk kepada Majlis Raja-Raja selaku ketua Agama.

"Bukan Perdana Menteri yang membuat keputusan soal agama. Ini mendukacitakan umat Islam yang mempunyai Perdana Menteri yang tidak bijak menangani permasalahan negara.

"Bukan sahaja ini boleh mengundang ketidak stabilan negara dan ianya boleh mengundang huru hara," katanya dalam tulisan bertajuk "Inilah akibat daripada Kepimpinan Negara yang lemah."

Umat Islam tegasnya semakin bimbang dengan isu kalimah Allah ini yang berlarutan dan mereka juga jelasnya semakin jelak melihat pemimpin yang tidak tegas dalam tindakan dan membelakangi undang undang.

"Rakyat mahu melihat sebuah kerajaan yang tegas. Apakah kesilapan rakyat mengundi mereka mereka ini dan diamanahkan untuk menjadi kerajaan?

"Ataupun pemimpin sudah lupa pada akujanji sebelum ini atau hanya sekadar pandai berjanji?
“Sudah sudahlah rakyat sudah mula benci pada kerajaan yang sedia ada kerana tidak cekap dalam mengurus takbir negara. Ingatlah jika kami ditipu hanya sekali sahaja," katanya.

Ratusan ahli Umno Bahagian Pasir Salak mengadakan demonstrasi pada Jumaat di hadapan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) meminta mempertahankan isu kalimah Allah.

Menurut Pengerusi Tetap Umno Bahagian Pasir Salak, Ramli Yusuf, mereka akan turut menghantar memorandum sebagai memberi sokongan penuh kepada perdana menteri dalam mempertahankan kalimah Allah daripada terus dipermainkan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain melaungkan slogan "Hidup Umno", "Selamat Melayu", "Selamatkan Islam dan Allah", peserta demonstrasi itu turut menjulang sepanduk yang tertera perkataan "Save Kalimah Allah untuk Umat Islam", "Hapuskan Petualang Negara " juga " Kembalikan ISA", "Kalimah Allah khusus Untuk Agama Islam Bukan Trinity Seperti Tuhan Agama Lain" dan "Melayu Jangan Tak Faham Sejarah".

Najib sebelum kemudiannya mengumumkan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno menyatakan sokongan terhadap pendirian kerajaan dalam mempertahankan kedudukan agama Islam termasuk kalimah Allah.

Akan tetapi beliau berkata, anggota ahli MT juga mengambil maklum resolusi 10 perkara yang dipersetujui kerajaan pusat.

Bagaimanapun kata presiden Umno itu, resolusi tertakluk kepada undang-undang Persekutuan dan undang-undang negeri.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722