Menteri Kabinet mesti mencari dana sendiri bagi menghadiri latihan media seperti yang disaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta tidak menggunakan dana awam pada masa perlu berjimat ini, kata ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR).
Mereka berkata, latihan media tidak mampu menyelesaikan masalah yang disebabkan kegagalan mereka memahami masalah rakyat berhubung kenaikan harga barang.
“Apabila menteri tidak bercakap dengan bijaksana, pastinya mereka perlu belajar dan membuat pembaharuan tetapi itu masalah peribadi mereka. Rakyat tidak harus dijadikan mangsa bagi tujuan mereka mempelajari bagaimana berdepan dengan media,” kata Naib Presiden DAP M Kulasegaran (gambar).
“Ini pertama kali dalam sejarah negara menteri Kabinet diminta pergi ke kursus media untuk bercakap dengan bijak. Keputusan ini menjadi bahan ketawa.”
Ahli Parlimen Ipoh Barat yang juga merupakan seorang peguam itu berkata sementara beberapa menteri pernah memberikan kenyataan memalukan kerajaan dan mengundang kemarahan rakyat serta perkara yang menjadi isu bukanlah pemimpin kurang bijak.
“Adakah mereka tidak tahu cara untuk berdepan dengan media?
“Saya tak fikir begitu. Puncanya adalah menteri kurang bergaul dengan orang kebanyakan,” katanya.
Kulasegaran kemudiannya memberikan dua contoh bagi menyokong hujahnya.
“Pertamanya adalah kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar yang berkata rakyat boleh menggunakan jalan biasa jika tidak mahu membayar tol.
“Keduanya adalah contoh kangkung yang diberikan Najib.”
Kulasegaran berkata Najib dengan jelas tidak memahami tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat sehingga sanggup memberikan kenyataan demikian.
“Adakah Najib fikir rakyat hanya makan kangkung setiap hari atau rakyat perlu berterima kasih kerana harga kangkung turun sedangkan kos sara hidup meningkat?
“Bagaimana perdana menteri yang selalu melaungkan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ mengeluarkan kenyataan sedemikian?
“Jawapannya hanyalah beliau kurang bersama rakyat bawahan. Beliau jelas tidak memahami perasaan rakyat,” katanya.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berasa tindakan menghantar menteri ke kursus media bukan jawapan sebenar kepada pengakhiran kesilapan pentadbiran Najib.
Beliau berkata Najib perlu mempunyai pendirian kukuh, menghentikan pentadbiran auto-pilot dan menunjukkan perubahan dalam kepimpinan.
Katanya, Najib perlu membuang sebahagian menteri Kabinet yang didefinisikan “menteri half-past six” oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menghasilkan menteri Kabinet yang dihormati dan memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (gambar) berkata sebilangan menteri adakalanya tidak dapat menerima kritikan terhadap corak kepimpinan menyebabkan mereka mengeluarkan kenyataan luar biasa.
"Mereka sepertinya lupa rakyat mahukan jawapan bertanggungjawab daripada mereka apabila ada isu yang dibangkitkan.
"Menteri harus belajar bertenang ketika menjawab soalan daripada media dan bersedia menjawab soalan sensitif dengan kebijaksanaan.
"Mereka harus ingat mereka dipilih rakyat dan seharusnya mereka bertanggungjawab," katanya kepada The Malaysian Insider.Raja Kamarul Bahrin berkata, jika menteri berkenaan enggan melakukan perubahan terlebih dahulu, tiada kursus media yang mampu merubah mereka.
"Perubahan bermula dari dalam dan jika mereka tidak berminat untuk menjawab meskipun merupakan menteri yang berkaitan, lebih baik letak jawatan," katanya.
Ketua Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman pula berkata, pertama, mereka yang mempunyai kemahiran kepimpinan terpuji sahaja wajar diberi status menteri dan portfolio.
"Dari cara beberapa menteri bercakap baru-baru ini menunjukkan mentaliti mereka dan ia memalukan kerajaan.
"Daripada mengadakan kursus media yang menggunakan wang pembayar cukai, menteri seharusnya diberi cuti belajar dan diminta menghantar laporan penuh apa yang dipelajari berkaitan dengan tugas kementerian," katanya.
Fauzi berkata masalah sesetengah menteri adalah mereka terlalu bergantung kepada pegawai mengendalikan tugas mereka.
"Inilah punca mereka mengeluarkan kenyataan mengarut sewaktu ditanya isu melibatkan rakyat. Mereka tidak menjalankan tugas," katanya.
Pemimpin PR mengulas berhubung laporan Najib yang mengarahkan kursus media wajib kepada menterinya bagi mengelakkan pentadbirannya menjadi bahan ketawa rakyat.
"Perdana Menteri mahu menterinya menduduki kursus media bagi mengelak berulangnya kenyataan bodoh," kata sumber yang enggan namanya didedahkan.
The Malaysian Insider difahamkan Najib kurang senang dengan kenyataan menterinya yang memburukkan lagi imej Putrajaya.
Seorang menteri mengesahkan Najib memberikan arahan itu dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu mengarahkan menterinya menghadiri kursus berdepan dengan media.
Katanya, ia perkara biasa bagi anggota Kabinet menghadiri latihan, kursus dan seminar dan bukanlah kerana kelemahan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek turut mengesahakan kursus media itu yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Tidak lama lagi, kena tingkatkan penyampaian media kami," katanya tanpa mahu mengulas lanjut.
Penyelarasan subsidi yang dijalankan Putrajaya selepas Pilihan Raya 2013 dibantah orang ramai termasuk pembangkang PR.
Langkah Putrajaya merasionalisasikan subsidi dilihat pakar ekonomi sebagai tindakan bijak untuk mengekang defisit negara, namun pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan tarif elektrik dan tol termasuk pemansuhan subsidi gula dan kenaikan kos bahan api menerima respons negatif rakyat yang merasai peningkatan kos sara hidup