Bau dan perisa shisha yang pelbagai antara perkara yang diminati penggemar shisha.
KUALA LUMPUR: Mencari tempat yang menyediakan shisha di Kuala Lumpur ini bukanlah perkara yang susah memandangkan perniagaan ini tumbuh seperti cendawan selepas hujan, tutup satu, esoknya wujud yang baru.
Namun, memandangkan penulis bukanlah anak jati bandaraya metropolitan ini, penulis mendapatkan bantuan rakan lama penulis untuk mencari lokasi popular bagi penggemar shisha.
Semalam, penulis dibawa melepak di sebuah restoran ala-ala Arab di Kuala Lumpur lebih kurang jam 11.30 malam.
Setibanya di depan kedai tersebut, hidung penulis mencium bau-bauan wangi buah-buahan.
“Ini baru di depan kedai, kau cuba masuk dalam lagi sedap bau dia,” kata rakan penulis.
Kami terpaksa memilih meja di dalam kawasan berpenghawa dingin lantaran tiada tempat duduk kawasan terbuka, semuanya sudah dipenuhi pengunjung.
Dari pemerhatian penulis, hampir setiap meja ditemani dengan balang shisha, dan pengunjung bergilir-gilir menghisapnya dengan rakan masing-masing.
Selesai mengambil pesanan kami, pelayan terus bertanya sama ada kami mahu memesan shisha atau tidak. Memandangkan kami tidak menghisap shisa, jadi kami menolak.
Dari menu yang diberikan, shisha dijual dengan dengan harga bermula RM10. Perisanya boleh dicampur-campur dan ada juga yang dihidangkan dalam bekas perisa yang dibuat menggunakan kulit nenas.
Di kedai ini, walaupun dalam kawasan berpenghawa dingin, anda masih boleh menghisap shisha.
“Berkepul-kepul asap dalam ni, pedih mata. Nasib baik baunya wangi,” kata rakan penulis.
Penulis sempat berbual dengan seorang pengunjung yang menamakan dirinya Sham.
Menurut Sham, dia menggemari Shisha kerana baunya yang wangi serta perisa buah-buahan shisha itu sendiri.
“Harganya pun murah dan boleh dihisap dengan lama jadi sangat sesuai dihisap bersama rakan-rakan apabila keluar melepak,” katanya yang kelihatan dalam lingkungan usia 20an.
Menurutnya lagi, perisa shisha itu yang pelbagai menjadikannya unik.
“Satu benda yang menarik mengenai shisha ini ialah dari segi rasa dia, boleh rasa sampai ke tekak!
“Dia boleh dicampur perisa jadi menarik, macam air buah-buahan pun ramai juga yang gemarkan ianya dicampur, begitu juga shisha,” katanya lagi.
Sham bagaimanapun mengakui pernah diberitahu bahawa shisha itu haram.
“Pernah juga baca dalam akhbar, ada mufti di sesetengah negeri kata haram tapi ia masih dijual secara terbuka dimana-mana,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, seperti rokok, fatwa yang dikeluarkan mengenai shisha kurang jelas.
Sementara itu, bekas peniaga shisha yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiah berkata saingan dalam perniagaan ini amat kuat sebenarnya, namun menguntungkan.
“Modalnya agak besar, tapi dalam dalam masa hanya dua bulan saya sudah mendapat balik pulangan modal itu.
“Macam perniagaan lain, ada pasang-surutnya. Ada hari saya dapat jual 10 balang sahaja, hujung minggu minimum dapat jual 25 balang,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, kedainya dahulu di Wangsa Maju yang dinamakan Sheeshaa beroperasi selama lebih dua tahun sebelum beliau berlaih ke perniagaan bakeri.
“Macam saya katakan tadi, saingan dalam perniagaan ini agak tinggi, lepas tutup kedai dahulu ada fikir nak ubah lokasi tapi sekarang sebab dah sibuk, jadi tak terkejar nak menjual shisha,” jelasnya.
Tambahnya lagi, fatwa yang dikeluarkan mengenai shisha turut membantutkan hasrat beliau untuk kembali menjual shisha.