KHAIRIL ABDUL RAHIM
JERANTUT: PAS menggesa pihak bertanggungjawab segera membaiki jalan runtuh di laluan jalan utama Jerantut - Maran, dekat Felda Sungai Tekam Getah yang sudah dua bulan dibiarkan akibat kejadian banjir penghujung tahun lalu.
Runtuhan sedalam 10 meter di jalan utama itu menyebabkan gangguan dan kesukaran lebih 3,000 penduduk tanah rancangan berkenaan dan perkampungan sekitar berulang-alik menggunakan jalan berkenaan saban hari, selain mengancam nyawa mereka.
Yang Dipertua PAS Kawasan Jerantut Yohanis Ahmad (Gambar) berkata, jalan tersebut mula terhakis dan runtuh apabila berlaku banjir pada awal Disember lalu, namun sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang kerja-kerja pemulihan.
“Pengguna tidak ada alternatif lain selain daripada menggunakan jalan ini untuk pergi bekerja, ke bandar Jerantut atau Jengka dan memunggah hasil pertanian sawit, getah dan lain-lain dibawa ke kilang Jengka 8 dan Kota Gelanggi.
“Masalahnya jalan ini mengancam nyawa mereka. PAS kesal kerana setakat hari tidak ada apa-apa perkembangan langsung. Lambatnya wakil rakyat dan daripada pihak JKR untuk selesaikan masalah ini, tidak seperti janji pilihan raya,” katanya.
Yohanis berkata, ada penduduk bergotong-royong membuat laluan alternatif sendiri melalui jalan ladang sepanjang tiga kilometer melalui jalan dalam ladang kelapa sawit.
Bagaimanapun laluan alternatif itu menimbulkan masalah di mana ia laluan sempit dan tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang berselisih serta permukaan jalan yang lembik jika hujan walaupun sudah ditambun dengan batu.
Akhirnya jalan utama yang pada mulanya ditutup, terpaksa digunakan juga walaupun mengundang ancaman nyawa kerana kedua-dua belah jalan sudah terhakis menyebabkan laluan semakin genting.
Menurutnya, selain itu masalah lain yang timbul dan dibimbangkan jika berlaku kecemasan seperti kebakaran, sakit, kemalangan dan sebagainya.
“Sebab itu kami menggesa pihak kerajaan supaya menyegerakan untuk membaiki jalan utama yang runtuh ini kerana bimbang keselamatan penduduk terancam.
“Saya fikir dalam keadaan mendesak seperti darurat ini kerajaan mesti luluskan sedikit peruntukan kepada rakyat yang membayar cukai,” tegasnya.
Yohanis berkata, walhal pembinaan jalan baru Benta – Jerantut - Maran telah dilusluskan bajet seperti di sebut dalam Rancangan Malaysia ke-7 dahulu.
Katanya, rentetan daripada gagalnya projek tersebutlah menyebabkan jalan lama ini masih digunakan tetapi sudah berlaku hakisan dan runtuhan yang teruk sepanjang jalan.