Badan pemantau hak asasi manusia antarabangsa Human Right Watch (HRW) hari ini membidas Putrajaya kerana berpatah balik daripada janji pembaharuan yang dibuat sebelum pilihan raya 5 Mei tahun lalu.
Dalam World Report 2014 yang dikeluarkan hari ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak menunaikan janjinya apabila meminda kembali beberapa undang-undang yang menindas dan menekan.
"Malaysia pada 2013 menyaksikan 'dua kisah Najib', menjanjikan pembaharuan undang-undang sebelum pilihan raya dan mengembalikan undang-undang menindas selepas itu," kata timbalan pengarah HRW Asia, Phil Robertson (gambar) dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, HRW juga mendakwa kerajaan BN menafikan hak asas rakyat Malaysia semasa berlangsung pilihan raya Mei lalu.
"Sejak Mei tahun lepas, kerajaan melanggar hak asas, menyekat kebebasan bersuara dan membuat pendakwaan ke atas aktivis yang menganjurkan protes aman," katanya lagi.
Laporan tersebut memetik Pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang diluluskan Oktober tahun lalu oleh pentadbiran Najib sebagai undang-undang menindas.
HRW juga menegaskan pindaan undang-undang kontrovesi itu membenarkan penahanan tanpa bicara dan mengehadkan asas untuk merayu serta mengembalikan beberapa amalan salah guna yang menyamai undang-undang drakonian lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO).
Selain itu, Najib juga tidak menunaikan janjinya apabila masih menggunakan Akta Hasutan untuk mendakwa aktivis dan pemimpin pembangkang walaupun sebelum ini berjanji undang-undang tersebut akan dihapuskan.
HRW turut mengecam pendakwaan kes Liwat II melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai sengaja direka dan bermotifkan politik.
Kedegilan kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi memantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menyebabkan HRW mempersoalkan ketelusan dan integriti agensi tersebut ketika kes kematian dalam tahanan dilaporkan setiap tahun.
HRW juga membidas sikap kerajaan Malaysia yang mendiskriminasi kumpulan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
HRW juga menggesa Malaysia selaku anggota dalam Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR) meratifikasi lebih banyak lagi konvensyen hak asasi manusia antarabangsa memandangkan setakat ini hanya empat sahaja yang ditandatangani.
"Kerajaan Malaysia membalas keputusan buruk dalam pilihan raya yang diperoleh mereka dengan mengabaikan hak asasi daripada menghormatinya," kata Robertson lagi.
Robertson juga mendesak agar kerajaan Malaysia meneruskan pembaharuan dan melindungi hak asas rakyat Malaysia termasuk pembangkang dan aktivis