Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)
KUALA LUMPUR - Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hari ini sekali lagi mengingatkan pengguna di Selangor dan ibu negara agar menyimpan air secukupnya bagi menghadapi gangguan bekalan yang bermula esok sehingga 22 Disember ini.
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata ini kerana syarikat itu hanya menyediakan lori tangki kepada pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat.
"Kami hanya mempunyai 66 buah lori tangki dalam keadaan tunggu sedia serta menyediakan 750 buah tangki statik untuk kawasan-kawasan yang masih belum mendapat pemulihan selepas 24 jam.
"Walau bagaimanapun, bilangan ini agak terhad. Oleh itu kami menasihatkan para pengguna yang terlibat dalam gangguan tersebut untuk menggunakan air secara berhemah dan menyimpan air secukupnya untuk digunakan dalam tempoh gangguan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Kira-kira sejuta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur bakal menghadapi gangguan bekalan air berikutan hentitugas (separa) sementara loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2.
Menurut kenyataan awal yang dikeluarkan oleh Syabas, gangguan bekalan air itu akan bermula 8 pagi esok manakala tempoh pemulihan bekalan dijangka bermula 9 malam hari yang sama dan berterusan sehingga 8 pagi pada 22 Dis (Ahad).
Hentitugas itu adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama seperti papan suis dan paip keluli.
Gangguan bekalan air itu akan melibatkan 217,694 akaun pengguna termasuk di beberapa kawasan penting seperti Kelab Diraja Selangor, Pusat Sains Negara, Kompleks Kerajaan Jalan Duta dan Pusat Dagangan Dunia Putra. - Bernama