MALAYSIAKINI
Kenaikan harga barangan keperluan harian merupakan cabaran utama tahun 2014 dan kerajaan harus mengambil langkah membendung perkara ini.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno Kota Kinabalu Rosimah Zakaria selepas Majlis Angkat Sumpah Jawatan Ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO Kota Kinabalu bersama Pengerusi Biro-biro di Kota Kinabalu semalam.
Katanya, antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menyekat pelbagai kos menteri dan pegawai kerajaan.
“Dengan menyekat pelbagai kos pegawai kerajaan dan menteri, ia boleh menyumbang ke arah penjimatan perbelanjaan negara.
“Untuk itu dalam masa yang sama, para pemimpin dan pegawai kerajaan harus menunjukkan contoh yang baik dan tidak bermewah-mewah dalam perbelanjaan. Ini semua adalah sebagai contoh dan teladan supaya rakyat dapat terima dengan baik,” jelas Rosimah.
Beliau turut menyarankan kepada para pengguna agar bijak membuat pilihan dalam membeli barangan keperluan setiap hari.
Sementara itu, Rosimah turut menyeru semua pengerusi Biro-biro yang dilantik agar memperluas dan memperkukuhkan peranan mereka mengekalkan kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Katanya, setiap pengerusi Biro yang dilantik mempunyai peranan besar kerana kawasan DUN yang berdekatan adalah dikuasai pembangkang.
Pergerakan Wanita Umno Kota Kinabalu mempunyai 14 biro.
Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Naib Ketua Wanita Nuriya Muamil serta jawatankuasa Wanita Umno Kota Kinabalu.