Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

MB Selangor pertahan kenaikan gaji walaupun ianya keputusan sukar

$
0
0
OLEH MD IZWAN



















Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) meminta maaf ke atas keputusan sukar dibuatnya walaupun tidak disenangi ramai, merujuk kepada kelulusan kenaikan gaji di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Abdul Khalid mempertahankan kenaikan gaji wakil rakyat Selangor supaya mereka bekerja lebih keras.
"Keputusan sukar ini dibuat dengan keikhlasan, kami tidak buat senyap-senyap, kami tidak cuba memperdaya kamu.

"Keputusan ini dibuat untuk menggalakkan semua orang bekerja lebih kuat," kata beliau semasa majlis rumah terbuka sempena sambutan Krismas di Subang anjuran kerajaan negeri hari ini.

Abdul Khalid juga memberi jaminan sumber awam akan diuruskan dengan baik untuk kepentingan semua.

"Kami perlu bekerja kuat bagi memastikan sumber awam diuruskan dengan baik kerana kami adalah penjaga amanah bukan pemilik sumber anda semua.

"Ia menjadi tanggungjawab kami untuk membuktikan sumber negeri akan diselia dengan baik dan untuk manfaat semua orang di negeri ini," kata Abdul Khalid lagi.

Bulan lalu, sidang DUN Selangor meluluskan kenaikan gaji untuk semua 56 Adun berkuatkuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,500; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker RM6,327.50 kepada RM15,750; dan Adun RM6,000 kepada RM11,250.

Sejurus pengumuman tersebut, pelbagai pihak menyuarakan kritikan mereka termasuk ahli Pakatan Rakyat, dengan alasan bahawa jumlah peningkatan terlalu tinggi.

Mereka berhujah keutamaan perlu diberikan bagi projek tebatan banjir dan pembaikan jalan.

"Saya tidak mahu situasi di mana seseorang datang kepada saya dan mengatakan saya tidak mendapat gaji yang baik, awak boleh berikan saya tanah?

"Manusia perlu motivasi dan sokongan, apabila segala-galanya jatuh ke tempat sepatutnya, semua orang akan mendapat faedah," kata Abdul Khalid.

Beliau juga memberi amaran tahun depan akan menjadi tahun yang sukar dari segi kewangan dengan peningkatan harga, termasuk kenaikan akan berlaku bagi kadar tol.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berjanji bahawa kadar air di negeri Selangor akan tetap sama tanpa sebarang peningkatan.

Beliau turut memberitahu kira-kira 1,000 lebih tetamu yang menghadiri rumah terbuka yang terdiri daripada pelbagai kaum harus hidup dalam suasana harmoni.

"Terima perbezaan, anda dengan cara anda sendiri, saya dengan cara saya sendiri, tetapi kami bersama-sama kerana kita mempunyai kepercayaan sama," katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir.

Khalid kemudiannya disambut dengan lagu hari jadi daripada orang ramai selepas Speaker Selangor Hannah Yeoh memaklumkan hari ini merupakan hari ulang tahun Menteri Besar Selangor itu.

Abdul Khalid kemudian mengucapkan terima kasih kepada orang ramai dan menjemput mereka untuk makan malam.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722