PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan enggan menerima kenyataan bahawa negara sedang mengalami kegawatan ekonomi dan peningkatan kadar inflasi manakala rakyat terbeban oleh dasar yang dilaksanakan.
Anwar berkata, dakwaanya dapat dilihat melalui kadar inflasi di Malaysia yang melonjak sebanyak 2.4 kali ganda dari Disember 2012 kepada November 2013.
"Menurut Monetary Policy Statement oleh Bank Negara bertarikh 7 November 2013, CPI (Indeks Harga Pengguna) rasmi terkini di Malaysia telah melonjak kepada 2.6 peratus pada September 2013 berbanding 1.9 peratus pada Ogos 2013...lonjakan tinggi ini dikaitkan dengan pengurangan subsidi petrol sebanyak 20 sen per liter dan kenaikan harga barang makanan, pengangkutan dan berkaitan dengannya.
"Anggaran terkini oleh Trading Economics, kadar inflasi untuk bulan Oktober 2013 terus meningkat kepada 2.8 peratus dan November 2013 pada 2.9 peratus.
"Maknanya kadar inflasi di Malaysia telah melonjak sebanyak 2.4 kali ganda dalam masa setahun," katanya pada sidang media di sini, Khamis.
Menurut Anwar, negara akan mengalami kerugian dengan kadar inflasi berterusan terutama apabila kadar inflasi naik lebih tinggi daripada kadar pertambahan pendapatan rakyat.
Justeru itu katanya, kerajaan diminta mengkaji dan melihat dari sudut beban yang ditanggung rakyat terutama golongan bawah dan pertengahan.
Beliau juga menjangkakan bebanan akan terus bertambah apabila kerajaan melaksanakan program pengurangan subsidi dan GST pada masa hadapan.
"Yang diuar-uarkan ialah langkah-langkah yang kami percaya lebih menekan rakyat dengan penambahan cukai melalui GST, kempen besar untuk rakyat menerima GST tanpa memberi ruang, satu wacana, perbincangan termasuk di kalangan pakar ekonomi secara terbuka dan bebas diadakan," katanya lagi.
Anwar berkata, dasar kerajaan dalam ekonomi negara juga tidak munasabah berbanding harga pasaran dunia serta sangat mengelirukan.
Beliau memberi contoh harga purata minyak mentah dan gula dunia yang turun pada 2012, 2013 dan Januari 2014 tetapi terus naik di Malaysia.
Beliau mendakwa kenaikan turut berlaku dalam sektor pengangkutan, pendidikan serta makanan dan minuman (tidak termasuk alkohol).
Mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani kenaikan kos sara hidup oleh kerajaan pada Rabu Anwar berkata:
"Bukan soal pantau, harga bawang naik, harga kangkung turun. Tiada makna apa-apa (jawatankuasa), ia mesti ada dasar penjimatan, hentikan boros, hentikan monopoli.
"Harga gula tak akan turun dan nasib petani tidak akan terbela selagi ada monopoli...ini isu dasar yang perlu ditangani kerajaan," katanya.