Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Tafsiran berkepentingan politik keruhkan hubungan Azmin dan MB Selangor

$
0
0
ANALISA OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISA DAN RENCANA




























Walaupun ramai yang melihat apa yang berlaku di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai pertembungan antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tetapi sikap pegawai yang bertindak tanpa merujuk telah memburukkan keadaan.

Namun, kekecohan ini telah memberi satu rahmat kepada PKR apabila hubungan antara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali rapat dengan timbalan presiden mereka (Azmin) setelah sekian lama berperang dingin ekoran krisis perlantikan MB Selangor selepas pilihan raya umum pertengahan 2013 lalu.

Krisis ini berlaku apabila PKNS mentafsirkan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang tidak memasukkan nama Azmin sebagai ahli lembaga sebagai pemecatan kepada Adun Bukit Antarabangsa itu.

Menurut sumber, selepas pilihan raya umum 2013, PKNS telah membuat satu kertas cadangan kepada Exco mengenai penyusunan badan itu. Antara cadangan adalah mengekalkan tiga nama dalam Lembaga PKNS iaitu Azmin, Iskandar Samad (dari PAS) dan Teresa Kok (DAP).

Namun selepas kertas itu dikembalikan kepada PKNS, hanya nama Iskandar dikekalkan di samping satu nama baru iaitu Datuk Teng Chang Khim sebagai ahli lembaga manakala nama ketiga dikosongkan lagi.

Pihak pengurusan PKNS membuat tafsiran bahawa Azmin dan Kok digugurkan kerana namanya sudah tiada.

Tanpa merujuk kepada pengerusi PKNS yang juga menteri besar, pengurus besar PKNS telah menghantar surat kepada Azmin (tidak kepada Kok) memaklumkan beliau telah diberhentikan dari PKNS, kata sumber PKNS kepada The Malaysian Insider.



























Ekoran dari surat itu, Azmin (gambar) telah memaklumkan perkara itu kepada media.

"Persoalannya kenapa pihak PKNS hanya menghantar surat kepada Azmin saja memaklumkan beliau dipecat tidak kepada Kok, tidak kepada Teng yang baru dilantik," kata sumber pejabat MB Selangor ketika mempersoalkan kekeliruan ini.

Selepas mesyuarat Exco semalam, Abdul Khalid berkata, pihaknya tidak membuat keputusan memecat Azmin.

"Keputusan (tidak sambung Azmin) dibuat oleh pengurus besar PKNS. Ia bukan keputusan parti. Exco tidak buat keputusan itu," kata Abdul Khalid ketika sidang media selepas mesyuarat Exco semalam.

"Dalam minit mesyuarat exco tiada siapa yang disingkir. Surat sudah diberi kepada Azmin dan beliau terima. Exco terima keputusan mereka," katanya dan menambah keputusan itu telah dibuat pada 4 Disember, 2013 lalu.

Maksud Abdul Khalid adalah, pihak Exco tidak membuat apa-apa keputusan terhadap Azmin tetapi tafsiran yang dibuat oleh PKNS yang telah menjadikan Azmin terpecat.

Ia berlaku apabila PKNS menghantar surat memaklumkan keputusan Exco yang tidak memasukkan nama beliau itu sebagai pemecatan kepada Azmin dan Azmin menerimanya.

Padahal keputusan terhadap Azmin belum dibuat lagi oleh Exco. Keputusan awal hanyalah mengosongkan dulu jawatan itu dengan mengisi dua nama sahaja dahulu.

Ketika ditanya, kenapa nama Azmin tidak dimasukkan dalam keputusan Exco itu, pegawai pejabat menteri besar berkata, "Saya rasa Tan Sri mahu mendapat mandat dari parti dahulu sebelum meletak mana-mana nama ke situ".

Anwar mempertahankan Azmin hari ini dengan berkata pemecatan Azmin tidak sah. Ini kerana yang boleh memecat Azmin adalah Exco dan menteri besar sahaja.

Selepas kenyataan Abdul Khalid semalam, Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek memaklumkan, surat mereka kepada Azmin bertarikh 8 Januari, 2014 adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Exco pada 13 November, 2013 dan disahkan pada 4 Disember, 2013.

Menurut kenyataan PKNS yang diterima The Malaysian Insider, Norita berkata, "PKNS juga ingin memaklumkan bahawa kuasa melantik Ahli Perbadanan adalah di tangan Exco dan bukannya pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS".

Kenyataan Norita ini dihantar kepada pihak media oleh Bahagian Perhubungan Awam PKNS.

"Persoalannya, kenapa PKNS menafsir keputusan Exco yang mengosongkan nama seorang lagi ahli lembaga tanpa merujuk kepada pengerusi PKNS yang juga menteri besar?

"Kenapa PKNS hantar surat kepada Azmin saja dan tidak kepada yang lain. Saya syak ada niat tidak baik di sini," kata pegawai pejabat menteri besar itu.

Kini yang tersepitnya adalah PKNS dan khasnya setiausaha kerja PKNS itu sendiri kerana membuat kenyataan yang menyanggah menteri besar sehingga Abdul Khalid dilihat seolah-olah tidak faham peraturan dan kuasa membuat perlantikan.

Di pihak Abdul Khalid pula, sememangnya jelas beliau tidak berminat untuk bermain politik. Walaupun ada penyokong Azmin mentafsirkan tindakan itu kerana Abdul Khalid mahu bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihannya Mei ini, namun pegawai pejabat menteri besar itu menafikannya.

"Kalau pertengahan 2013 lalu memang ada kita fikir untuk mencalonkan Khalid sebagai timbalan presiden selepas Azmin membuat masalah kepada parti ketika itu, tetapi sekarang kami tidak pernah bincang langsung hal itu," kata sumber yang rapat dengan menteri besar itu.

Namun yang lebih menarik juga, hubungan antara Anwar dengan Azmin kembali rapat semula selepas pelbagai kutukan dibuat Azmin terhadap Anwar dan keluarganya apabila tidak dilantik sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum lalu.

Hubungan ini boleh dilihat apabila Anwar mengadakan sidang media bersama Azmin di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Ketika tidak dilantik sebagai menteri besar dahulu, Azmin mendakwa beliau mahu menyelamatkan PKR dari amalan nepotisme.

“Saya bertekad untuk menyelamatkan PKR daripada amalan nepotisme,” kata Azmin yang dipercayai ditujukan kepada Anwar yang ramai anggota keluarganya memimpin PKR.

Sejak itu, Anwar dan Azmin berperang dingin sehinggalah dilihat rapat semula dalam sidang media hari ini.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722