Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Tinjauan: Warga KL masih mampu bersarapan

$
0
0

MALAYSIAKINI




Sarapan di luar? Barangkali tidak pada tahun 2014, demikian tanggapan sesetengah warga kota  yang meramalkan harga sarapan tahun ini pastinya meningkat ekoran kenaikan harga petrol, diesel dan gula tahun lepas.

Namun, tinjauan Bernama di sekitar Kuala Lumpur hari ini mendapati warga  kota masih mampu bersarapan di luar kerana rata-rata harga sarapan masih pada kadar berpatutan.

Malahan makanan kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi lemak juga masih  dijual pada harga RM1.50.

Pembantu Restoran Ala Kampung, Pandan Utama, Ampang, Lita Sulkan, 35,  berkata harga kebanyakan menu sarapan di restoran itu masih kekal seperti tahun  lalu namun ada beberapa menu yang dinaikkan harga tetapi hanya sebanyak 10 dan 20 sen sahaja.

"Harga nasi lemak biasa (tanpa lauk), meehoon,  mee goreng masih kekal RM1.50, manakala jika berlauk harganya sekitar RM2.50 sehingga RM4.50 bergantung pada lauk seperti telur, sotong atau ayam.

"Namun roti canai yang dahulu dijual pada harga 80 sen sekeping naik kepada 90 sen tahun ini," katanya kepada Bernama.

Bagi minuman pula Lita berkata teh tarik dijual pada harga RM1.20, teh o  (RM1) dan milo (RM1.80), masih kekal seperti harga tahun lalu.

Peniaga gerai di Pandan Utama, Ampang, Sawiyah Zaini, 60,  juga masih mengekalkan harga yang sama malahan lebih murah iaitu  RM1.30 bagi nasi lemak, meehoon dan nasi goreng tanpa lauk.

"Kalau ada lauk pula harganya antara RM2 hingga RM3.50 sahaja...makcik  ambil untung cukup-cukup sahaja kerana faham jika naik banyak pasti pelanggan pun akan lari," katanya.

Peniaga sarapan di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baharu, Gusniarti  Basyarudin, 42, pula berkata tiada sebarang kenaikan harga pada menu sarapan yang dijualnya.

"Ramai pelanggan yang datang ke sini risau dan bertanya adakah sarapan  yang saya jual sudah naik, tetapi setakat ini saya masih mengekalkan harga sama seperti tahun-tahun sebelum.

"Nasi lemak, nasi goreng tanpa lauk contohnya masih kekal RM1.50, pelbagai  kuih muih juga masih dijual pada harga tiga ketul RM1," katanya.

Gusniarti berkata biarpun berlaku kenaikan harga pada bahan mentah seperti cili kering dan telur, namun beliau masih cuba mengekalkan harga sarapan yang berpatutan untuk pelanggannya.

Peniaga kuih-muih di Gombak, Abdullah Mat, 40, pula berkata kuih-muih  yang dijualnya seperti donut dan kuih koci pada harga 30 sen satu sebelum ini dinaikkan kepada 40 sen.

"Kalau sebelum ini tiga ketul kuih boleh didapati pada harga RM1, sekarang 3 ketul RM1.20, ia bagi mengimbangi keuntungan selepas harga gula yang tidak lagi bersubsidi," katanya.

Bagi Balqis Mansor, 33, beliau masih bersarapan pagi jika bekerja manakala pada hujung minggu beliau memilih untuk memasak sarapan sebagai langkah penjimatan memandangkan beliau sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak.

"Kalau saya dan suami sahaja lebih jimat dan praktikal sarapan di luar, apa lagi hari bekerja memang tak sempat nak masak, tetapi kalau hari minggu bersama anak-anak, lebih jimat untuk memasak," katanya.

Izwan Ismail, 26, juga berkata beliau beranggapan harga sarapan di sekitar ibu kota masih berpatutan kecuali jika bersarapan di kopitiam.

"Setakat ini saya rasa kalau nak sarapan kat luar tu makanan tak mahal  sangat pun...kalau beli di gerai tepi jalan memang murah, kecuali kalau memilih sarapan di kopitiam, nasi lemak pun dah RM5 ke atas.

"Pilihan di tangan kita...namun saya berharap peniaga tidak tamak mementingkan keuntungan dan menaikkan harga sesuka hati kerana jika pelanggan sudah tidak ada, peniaga sendiri akan rugi," katanya.- Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722