Kangkung tidak dipengaruhi kuasa penawaran dan permintaan.
Sayur kangkung sinonim dengan orang Cina. Mereka selalu berkata, makan sayur kangkung dulu, bila sudah kaya baru makan daging. Maknanya sayur kangkung makanan orang miskin dan harganya murah.
Dalam teori ekonomi, kangkung tergolong dalam kategori ‘barang giffen’ iaitu barangan yang harga tidak dipengaruhi kuasa penawaran dan permintaan. Jika kangkung berlebihan di pasaran harganya tetap seringgit, demikian juga jika permintaannya berlebihan, harganya tetap seringgit seikat.
Apa yang tersirat di sebalik cerita sayur kangkung?
Dalam buku Sejarah Melayu yang disunting Tun Seri Lanang, dihikayatkan satu rombongan pembesar Melayu dari Melaka berkunjung ke negara China. Maharaja China biasanya duduk di atas singgahsana untuk bertemu pembesar-pembesar dan para tetamu tetapi dilarang untuk mendongak ke atas melihat wajahnya.
Bila sampai acara makan, pembesar Melayu minta sayur kangkung yang dipotong panjang. Dengan memegang hujung sayur kangkung, mengangkat ke atas, membuka mulut dalam masa yang sama pembesar Melayu telah melihat wajah sebenar Maharaja China.
Perdana Menteri, menteri kabinet dan pemimpin-pemimpin kerajaan sehingga hari ini masih berhujah, kenaikan harga barang-barang bukan disebabkan tindakan kerajaan menarik subsidi minyak petroleum dan gula. Ia berpunca dari faktor-faktor seperti keadaan ekonomi dunia, musim tengkujuh, banjir dan lain-lain lagi.
Terjahan tertumpu kepada peranan orang tengah yang dikatakan tamak dan sengaja menaikkan harga. Malah ada pemimpin yang berkata, orang tengah secara terancang cuba sabotaj ekonomi negara untuk tujuan politik.
Siapa Orang Tengah?
Yang menjalankan perniagaan sebagai orang tengah atau pemborong di Malaysia, majoriti orang Cina. Jika seluruh rakyat percaya kenaikan harga barang-barang angkara orang Cina, maka rakyat akan sokong apa sahaja tindakan kerajaan untuk menghapuskan monopoli orang Cina dalam perniagaan. Persoalannya, apakah rakyat percaya?
Menjelang PRU 2008, fenomena kenaikan harga juga berlaku akibat kenaikan harga minyak petroleum. Ramai berpendapat populariti kerajaan merudum akibat kenaikan harga barang-barang seperti minyak masak, gula dan sebagainya.
Kerajaan BN hilang majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Apa yang ketara ialah kehilangan sokongan daripada pengundi Cina.
Senario kali ini sedikit berbeza kerana kenaikan barang berlaku selepas PRU. Dalam PRU 2013, sokongan kaum Cina kepada parti pembangkang telah bertambah dan lebih terbuka. Kerusi kawasan bandar dan pinggir bandar disapu bersih calon-calon Pakatan Rakyat terutama DAP.
Mungkin marah dan dendam pemimpin BN kepada pengundi Cina belum berakhir akibat sokongan yang diberikan kaum itu kepada parti pembangkang dalam dua pilihan raya yang lalu. Selepas dihukum dengan tidak memberi sebarang jawatan dalam jemaah menteri, kaum Cina seolah-olah terus dipinggirkan dalam proses menentukan hala tuju negara.
Sebenarnya, jika ditinjau secara keseluruhan, bukan semua orang Cina terlibat dalam perniagaan borong dan runcit. Ramai yang sekadar pekerja biasa yang menghadapi bebanan yang sama seperti rakyat lain akibat kenaikan kos sara hidup.
Tambahan pula tak lama lagi mereka akan menyambut Tahun Baru. Lumrah setiap menjelang perayaan, harga barang-barang keperluan akan naik kerana permintaan yang meningkat. Takkan nak salahkan orang Cina lagi kerana buat perayaan Xong Xi Fa Cai?