Beberapa kenalan dan pembaca Harakah menghubungi saya, meluahkan rasa tidak selesa dengan siri laporan polis terhadap kenyataan "bughah dan halal darah"oleh mufti paling lama berkhidmat, Tan Sri Harussani Zakaria.
"Takkan kita pun nak jadi macam Umno dan NGO yang didalanginya, membuat ratusan malah ribuan report polis terhadap program besar rakyat turun ke jalan raya, seperti Bersih, Himpunan Kebangkitan Rakyat dan baru-baru ini, Turun," kata seorang rakan, dalam usia 60-an, yang juga peneliti akhbar Harakah.
"Harussani, mufti paling kanan, dah lebih 30 tahun," saya membalas, "walaupun itu hanya pandangannya, bukan satu fatwa rasmi dan tidak sandaran syarak yang jelas, tapi ia boleh mengelirukan, malah membahayakan ketenteraman masyarakat."
"Bukankah dulu Lutfi juga pernah menulis agar tidak perlu sibuk sangat melayan Mufti Perak ini, tajuk artikel itu pun sendiri sudah jelas," tambahnya, merujuk artikel saya bertajuk "Hang percaya Harussani?".
Ya, baru saya dapat mengimbau bahawa singgungan ringkas itu merujuk pengalaman menemubualnya sendiri, di Ipoh, semasa menerajui akhbar Siasah, bsrkisar antara lain, hal-hal murtad.
Banyak isu-isu sensasi yang diperkatakannya, termasuk berkaitan personaliti tertentu, sukar untuk dibuktikan dan kebanyakannya berdasarkan cerita rambang yang disampaikan dari mulut ke mulut.
Beliau nampak agar gopoh, tergesa-gesa, mudah percaya dengan khabar yang didengar dan tidak merujuk kepada pihak lain, atau rakan-rakannya sendiri dalam Majlis Fatwa, sebelum memutuskan sesuatu "fatwa".
Maaf, kalau dalam hal tertentu, dia nampak naif. Ya, sesiapa pun ada kelemahan, 'kan? Tetapi berbahaya jika seorang yang berkedudukan tinggi, berpengaruh, dihormati dan rapat dengan institusi istana bersikap begitu.
Saya yakin, dalam kes himpunan Turun pada malam tahun baru itu, Harussani percaya bulat-bulat apa yang dilaporkan Utusan Malaysia dan "media tali barut" lain, tanpa merujuk kepada sumber yang lebih sahih.
Ketua Penerangan KeADILan, yang juga bekas Presiden ABIM, Dr Muhammad Nur Manuty, dalam satu analisis yang menyeluruh, menyimpulkan:"Mufti Perak telah menampakkan kegopohannya dalam pembuatan fatwa. Beliau sewajarnya mengemukakan beberapa dalil syarak dengan panduan nas-nas qat’iy dalam al-Quran, al-Sunnah dan lain-lain sumber ilmiah yang muktabar.
"Tan Sri Harusani sewajarnya berbincang dahulu dengan pelbagai pihak terutama dengan Ahli Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ahli Ahli jawatankuasa Fatwa Syar’iyyah Negeri Perak dan lain-lain pegawai di Jabatan Mufti Perak.
"Walau bagaimanapun, fatwa Mufti Perak jelas tidak merujuk kepada para ulama/ilmuan lain. Islam menganjurkan amalan syura demi mendapatkan muwafakat terbaik dan dapat keberkatan dari Allah SWT."
"Apa pun," tambah rakan saya itu, "Harakah janganlah terlampau banyak bantai, sampai hampir setiap muka surat membalun Harussani."
"Ya ke, takkan Harakah sampai macam tu, salah baca kot," usik saya.
Seorang pembaca Harakah dari Baling, yang kerap membuat teguran apabila kami melakukan kesilapan, turut memberikan reaksi melalui SMS: "Awat dok layan sangat orang tua Perak tu, baik kita bincang tentang GST."
Namun begitu, GST yang dimaksudkannya bukan cukai barangan dan perkhidmatan, tetapi "Getah Skrap Turun".
Dua hari sebelum itu, dia mencadangkan agar Harakah meletakkan tajuk besar, "Pak Lah jadi PM harga getah naik, Najib jadi PM harga barang naik".
"Penoreh getah, untuk dapatkan ayam sekilo, mereka terpaksa dapatkan 6 kilo getah, terutama bagi yang pawah pokok orang," ujarnya lagi.
Saya tidak begitu jelas maksud beliau, tetapi sudah cukup untuk membayangkan kesukaran yang dihadapi penoreh getah sekarang, khususnya di Baling. Mengingati Baling tentu membawa kenangan kita kepada demonstrasi besar-besaran 1974, membabitkan orang-orang kampung yang tertekan hidupnya, terutama penoreh getah.
Kedah, negeri kelahiran saya, dengan kampung tanah tumpah darah yang dikelilingi bendang, juga mengingatkan tentang keperitan golongan pesawah berdepan kenaikan kos hidup. Serentak itu, saya mengharga usaha yang digerakkan oleh NGO BelaTani, bagi menaikkan harga padi, melalui kempen mereka di Kedah khususnya. .
Facebook Aris Awang, aktivis PAS Kuala Kedah yang juga bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, banyak melaporkan hal ini. Saya tertarik membaca keterangan dalam satu hebahan tentang rasional harga padi perlu dinaikkan.
Sejak tahun 2006-2014, iaitu selama tujuh tahun, harga beras terus meningkat dari RM1.70 sekilogram kepada RM2.60, iaitu peningkatan sebanyak 53 peratus, tetapi dalam tempoh sama, harga padi hanya meningkat dafri RM0.65 sekilogram kepada RM0.75, yakni kenaikan hanya 15 peratus.
"Kami petani ingin memaklumkan derita kami kepada rakyat yang tidak terlibat dalam industri padi bahawa kenaikan harga padi, walaupun sehingga 53 peratus sebenarnya tidak akan menyebabkan kenaikan harga beras kerana pihak pengeluar masih meraih keuntungan," kenyataan Pengerusi BelaTani, Mohd Subri Said, dipetik.
BelaTani, bersama Badan Bertindak Pesawah Malaysia, sudah memulakan kempen tandatangan menuntut kenaikan harga padi, antaranya, seperti dilaporkan dalam FB Aris Awang, di Masjid Kubang Siam dan Masjid Kg Huma, Alor Setar.
"Kami minta harga padi dari 7 kupang 5 duit (75 sen) naik jadi RM1.50 sekilo ... minta cara baik ni," keluhan "Ahli Jumaat" kedua-dua masjid itu, yang dirakam pada 10 Januari lalu.
Dalam satu wawancara khas Ketua Biro Harakah Kedah, Bashir Ishak dengan Subri Said, pertengahan November lalu, Pengerusi BelaTani itu menjelaskan tuntutan mereka: "Kerajaan perlu menaikkan harga padi yang ada sekarang. Secara dasarnya sekarang ini, harga jualan padi yang diperolehi petani adalah tidak stabil.
"Mereka juga perlu menanggung kos pengeluaran melibatkan input seperti kos bajak, upah, racun, baja dan sebagainya pula semakin meningkat. Sekarang, bagi setiap kilogram padi, harga jualannya adalah RM0.75. Manakalan insentif oleh pengilang pula sebanyak RM0.35 serta subsisidi oleh kerajaan sebanyak RM0.25. Insentif dan subsisidi ini dikira sebagai apungan.
"Jadi, untuk menaiktaraf kehidupan pak tani, kita menuntut supaya subsidi dan insentif yang diberi ini diteruskan dan harga padi pula dinaikkan kepada harga baru RM1.50. Begitu juga, kami menuntut supaya kaedah potongan timbangan berat padi diubah dari amalan yang dibuat sekarang iaitu "potongan lantai: Tidak kurang dari 18%" kepada "potongan siling: Tidak Lebih Dari 18%". Ini perlu dibuat berdasarkan kualiti padi sebagai satu motivasi kepada pesawah untuk menghasilkan padi yang lebih berkualiti untuk potongan yang lebih rendah."
Saya turut tertarik dengan tinjauan pendapat Astro Aswani bersama petani di kawasanSungai Limau, semasa pilihan raya kecil Dun tersebut.
Seorang pesawah, Hashim Kadir, 70, berkata bantuan seperti insentif kepada petani dan pesawah sangat diperlukan oleh mereka: "Semua pengusahaan bendang di sini kebanyakannya disewa. Ada antaranya sebanyak satu relung dan dua relung, jadi kita minta kerajaan bantu dalam memberi insentif seperti menaikan subsidi harga padi dan selain itu, berilah baja yang benar-benar berkualiti kerana baja subsidi yang kita dapat kebanyakan tidak berkualiti."
Bagi Ghazali Salleh, 68, selain menaikan subsidi harga padi, kerajaan juga diminta peka dengan masalah pesawah seperti tanah bendang yang jerlus dan juga masalah padi angin.
Diharapkan gerak usaha BelaTani ini mendapat sambutan menyeluruh masyarakat tani sehingga keresahan mereka difahami elit penguasa dengan baik. Untuk memastikan suara paktani didengar, ia memerlukan gema yang lebih bergemuruh, dan membingitkan telinga pihak berkuasa. Biar ada kejutan yang menyebabkan perhatian Putrajaya tertumpu dalam isu harga padi ini.
Bukankah subsidi padi hanya dinaikkan apabila pesawah turun berdemonstrasi di hadapan Wisma Negeri, Alor Setar, hampir 35 tahun lalu? Ekoran itu ramai juga yang ditahan tan-pa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Selama ini kita seperti ketandusan tokoh atau NGO yang serius (dan bersistematik) memperjuangkan nasib pesawah. Menjelang PRU13, semasa Himpunan Hijau di Bagan Serai, Perak, rasanya ada pertemuan di sebelah pagi membincangkan isu kritikal masyarakat bendang tetapi ia seperti tidak mempunyai momentum.
Walaupun tidak banyak puisi dapat menarik minat saya, namun karya Kasim Ahmad yang satu ini (saya menikmatinya pada tahap awal sekolah menengah), mempunyai keunikan tersendiri. Saya nukilkan kembali rangkap terakhirnya; mungkin ada kaitan dengan kegelisahan golongan petani yang lebih memendam rasa selama ini.
Ada esok maka pasti ada suria
aku akan pergi
dengan seribu jebat si anak tani
kian lama kita mati dalam setia
kali ini kita hidup dalam derhaka