Oleh Nurshakira Buang

SHAH ALAM: Tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil langkah sendiri mencalonkan tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS kepada istana sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu dibuat kerana kecewa dengan gelagat Pakatan Rakyat khususnya PKR, kata Datuk Aidit Ghazali.
Malah, ujar Timbalan Presiden Jaluran Tiga (JATI) itu beliau kini hanya menunggu masa untuk PAS meninggalkan parti atau dipecat daripada Pakatan pembangkang.
"Pada saya pihak pimpinan tertinggi PAS khususnya Abdul Hadi dan juga majlis Syura Ulama dan akar umbi PAS yang nak PAS menjadi sebuah parti yang berlandaskan pada Islam mereka ini sebenarnya sudah begitu kecewa dan pasrah dengan gelagat yang dibawa oleh Pakatan khususnya PKR dan DAP dan terutama sekali konco-konco Anwar dan dia punya penyokong-penyokong.
"Saya rasa mereka dah pasrah, kecewa, marah sangat dan pada saya sebagai orang luar saya hanya tunggu sahaja PAS ditinggalkan atau meninggalkan pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali sebeum ini didakwa tidak dicalonkan oleh PAS sebagai Menteri Besar Selangor meskipun Presiden dan Timbalan Presiden PKR itu sebelum ini disebut-sebut antara daripada tiga nama yang dihantar parti itu kepada pihak istana.
PAS sebaliknya mengemukakan kesemua calon Menteri Besar daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka sendiri, sekali gus turut menafikan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam bahawa parti itu mengemukakan dua calon PKR dan seorang calon Pas untuk dipertimbangkan mengisi jawatan tersebut.
Difahamkan tindakan PAS mencalonkan tiga ADUN mereka untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar itu kerana kesal dengan keputusan PKR dan DAP sebelum ini yang telah menolak bulat-bulat cadangan parti Isam itu yang mahukan Azmin dicalonkan bersama-sama Wan Azizah.
Mengulas lanjut adakah PKR khususnya Ketua Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berlembut dengan mengemukakan calon lain selain Wan Azizah, ini jawapan Aidit:
"Kalau sekarang nak dikatakan bahawa Anwar Ibrahim dan PKR nak berlembut dan sebagainya pada saya nasi dah jadi bubur dan juga nama baik Anwar yang dah buruk semakin buruk.
"Nama PKR yang kononnya menjadi harapan sebagai salah satu alternatif kepada BN itu pun dah berkecai," katanya.
"Di dalam PKR sendiri sudah wujud kumpulan pelbagai kumpulan yang berentap antara satu sama lain begitu juga dalam PAS," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Aidit menggesa rakyat di negeri ini supaya menolak mereka-mereka yang membuat kacau serta mencetuskan suasana tidak harmoni di Seangor kini bila saja mendapat peluang untuk berbuat demikian.
"Masyarakat mesti sedar bahawasanya bukan sekarang ini mereka nak tunggu Anwar Ibrahim atau PR berlembut tetapi mereka kena buat satu tindakan yang tegas bila datang sahaja peluang mereka kena nyahkan Pakatan pembangkang ini dari muka bumi negeri Selangor sebab negeri Selangor kita tak perlu orang-orang nak buat kacau begini," tambahnya.