KELAB GREENBOC
Anggota polis mabuk diambil tindakan
Ekoran penyebaran gambar dua anggota polis yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa menjalankan tugas rondaan, kedua-dua identiti anggota tersebut telah dikenal pasti.
Menurut kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, melalui akaun Facebook Polis Diraja Malaysia malam ini, kedua-dua anggota terbabit telah ditukarkan serta-merta tempat penugasan dan siasatan lanjut berkaitan insiden itu sedang dijalankan.
Beliau berkata, PDRM memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana anggota yang didapati mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat.
"PDRM juga tidak akan melindungi dan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang telah melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan imej pasukan.
"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya mendapati mana-mana pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan tidak berintegriti," katanya. -SH
Gempar gambar anggota polis mabuk tepi jalan
SHAH ALAM - Gempar apabila di laman-laman media sosial tersebar gambar dua anggota polis peronda yang dipercayai mabuk dirakam tertidur dalam kereta peronda yang diberhentikan di bahu jalan.
Empat keping gambar yang disebarkan itu menunjukkan dua orang dalam pakaian seragam polis sedang nyenyak, dengan seorang daripadanya memegang tin minuman keras.
Dalam kereta polis itu juga kelihatan senjata api yang diletakkan di tempat duduk bahagian belakang kenderaan tersebut.
Selain itu, Sinar Harian Online juga mendapati sumber turut memuatkan gambar nombor pendaftaran kenderaan polis tersebut.
Namun seorang pengguna Facebook, Nordin Mansor yang memberi komen di laman Facebook Suara Rakyat mengatakan gambar itu bukanlah situasi sebenar dan turut menafikan anggota polis dalam gambar tersebut benar-benar mabuk.
Nordin yang juga dipercayai seorang anggota polis menjelaskan bahawa situasi berkenaan adalah latihan bagi menggambarkan kesalahan dalam waktu kerja.
Sinar Harian Online akan mendapatkan komen Ketua Polis Negara mengenai penyebaran gambar berkenaan.
ULASAN GB
GB awal-awal lagi merasa sangsi mengenai komen Nordin Mansor (anggota polis?) yang menyatakan gambar itu bukan situasi sebenar tetapi adalah latihan bagi mengambarkan kesalahan dalam waktu kerja.
Sangsi kerana jika latihan atau lakonan mana anggota yang lain, mana camera-man, mana crew yang lain?
Kini kebenaran terdedah. Ketua Polis Selangor pantas mengambil tindakan menukarkan serta-merta kedua-dua anggota terbabit dan siasatan lanjut berkaitan insiden dijalankan.
Sebenarnya kegiatan polis meminum minuman keras dan alkohol bukan perkara baru. Semua orang tahu hal ini.
Ingat semasa perbicaraan kes Suwandi & Azman di Terengganu satu ketika dulu. Seorang anggota polis secara terang-terangan mengaku dia tidak pernah mendirikan solat, kemudian mengaku bahawa dia seorang peminum arak, sekalipun di luar waktu bertugas.
Ia perlu disiasat habis-habisan. Demi menjaga nama baik pasukan polis, mana-mana anggota polis yang terlibat meminum arak/alkohol perlu diambil tindakan tegas. Kerana dengan menjadi seorang peminum arak/alkohol bererti ia boleh membuka pintu bagi anggota polis berkenaan melakukan kesalahan dan jenayah yang lain.