Roketkini.com
JOHOR BAHRU: DAP Johor mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin menjelaskan rasional kenaikan kadar tol sebanyak 480 peratus di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL).
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, Najib dan Khaled tidak boleh mendiamkan diri dalam isu tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam.
Menurutnya, Ahli Parlimen BN Pulai sendiri mengkritik langkah kerajaan itu dalam rencananya yang berjudul ‘Putrajaya salah strategi isu kenaikan tol Tambak Johor’ dalam The Malaysian Insider pada 4 dan 8 Ogos lalu.
“Nur Jazlan menuduh keputusan menaikkan tol CIQ dibuat dengan pemikiran dan penghitungan perkauman termasuk mendedahkan bahawa tidak ada rundingan bersama wakil rakyat BN sebelum ia dibuat.
“Tuduhan tersebut adalah serius, sudah tiba masanya Najib dan Khaled memberi penjelasan serta mengambil tanggungjawab.
“Mendiamkan diri bukan sifat seorang pemimpin yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Nur Jazlan dalam rencananya telah menyatakan dua perkara mengapa tindakan kerajaan menaikkan kadar tol adalah tidak munasabah.
“Tanpa disangka, kenaikan tol di Tambak Johor dan EDL bertukar menjadi isu perkauman kerana ia dilihat lebih terkesan kepada masyarakat Cina yang lebih ramai bekerja di Singapura berbanding kaum lain, termasuk Melayu.
“Sebagai Ahli Parlimen untuk semua kaum, saya berpendapat keputusan kerajaan menaikkan kadar tol berkenaan tanpa mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan termasuk saya sendiri, amat tidak menggambarkan konsep ‘rakyat didahulukan’,” ujarnya dalam tulisan tersebut. – Roketkini.com