Muzakarah Ulama anjuran sebuah NGO Islam hari ini memutuskan “haram” bagi penganut Islam menyokong Gabungan NGO Malaysia dalam Proses UPR (Comango) kerana tuntutan mereka yang bertentangan dengan syarak.
Dalam satu persidangan yang dihadiri hampir 25 tokoh agama dan cendekiawan Islam seluruh negara, Muzakarah Ulama anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) itu bertegas tuntutan pertubuhan NGO liberal tersebut sebagai merosakkan akidah umat Islam.
"Kepada pendokong dan penyokong tuntutan Comango, adalah 'haram' dari sudut Syariah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara untuk mendokong dan menyokong tuntutan Comango.
"Kepada masyarakat Islam, perlu sedar bahawa tuntutan ini boleh merosakkan akidah, jati diri ummah dan meruntuhkan cara hidup Islam keseluruhannya," kata jurucakap muzakarah, Dr Aznan Hasan (gambar) dalam satu sidang media di Hotel Equatorial di Bangi, Selangor petang ini.
Dalam perbincangan anjuran Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Muis) tersebut, turut diluluskan sebulat suara enam resolusi yang antaranya mengecam Comango dan mendesak pentadbiran Putrajaya supaya mengambil tindakan tegas.
"Kerajaan hendaklah bertanggungjawab menghalang dan menyekat usaha Comango daripada memberikan persepsi negatif yang mengelirukan kepada masyarakat antarabangsa terhadap Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan hal ehwal pelaksanaan undang-undang serta hukum Islam di Malaysia," kata resolusi tersebut lagi.
Dalam resolusi itu juga, Muzakarah Ulama mendakwa tuntutan Comango sebagai membahayakan umat Islam, antaranya menuntut kerajaan untuk mengiktiraf LGBT (Lesbian, gay, biseksual dan transeksual), undang-undang Islam dan beberapa perkara sensitif lain.
"Muzakarah bersetuju bahawa tuntutan-tuntutan asasi Comango adalah bertentangan dengan syarak, dalam masa yang sama bertentangan dengan undang-undang yang sah dan bertentangan dengan norma-norma antarabangsa," kata beliau lagi.
Dalam pada itu, muzakarah tersebut juga mendesak supaya Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatan Kuasa Fatwa Negeri mengeluarkan fatwa berkaitan tuntutan Comango.
Antara yang hadir dalam muzakarah hari ini adalah Mufti negeri Sabah Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Bin Haji Jaafar, Mufti Terengganu Dr Zulkifly Muda, Timbalan Mufti negeri Perak Tuan Hj Zamri Hashim, Timbalan Mufti Negeri Sembilan Tuan Hj Nor Azamir Alias dan beberapa tokoh lain.
Muzakarah berkenaan turut menyokong pengharaman yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas Comango baru-baru ini.
"Kami juga menyokong dan mengalu-alukan tindakan pengharaman oleh KDN tersebut," katanya lagi.
Comango adalah sebuah gabungan NGO yang bertanggungjawab menghantar laporan hak asasi manusia di Malaysia ke Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) untuk Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva.
UPR adalah mekanisma yang digunakan untuk menilai situasi hak asasi manusia negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ia dijalankan empat tahun sekali.
Bagaimanapun, Comango berdepan dengan kritikan pemimpin kerajaan dan NGO pro-kerajaan kerana menuduh mereka mengancam Islam dan mempromosi seks songsang.
Dalam perkembangan lain, Pesuruhjaya Tinggi PBB hak asasi manusia telah meminta Putrajaya membenarkan Comango melaksanakan aktiviti mereka tanpa rasa takut dan gangguan.
Jurucakap PBB Rupert Colville, berkata mereka mengambil berat mengenai keputusan terkini KDN yang mengisytiharkan Comango sebagai pertubuhan tidak sah.
“Ini kelihatan seperti tindakan balas terhadap Comango berhubung pembabitannya dengan mekanisme hak asasi manusia antarabangsa, dengan yang paling ketara ialah UPR.
“Setiausaha agung, majlis hak asasi manusia dan Pesuruhjaya Tinggi, Navi Pillay kerap meminta individu dan ahli kumpulan yang bekerjasama dengan PBB diberikan perlindungan,” katanya.
Colville berkata, beliau maklum bahawa Comango ada menghantar laporan berhubung UPR Malaysia pada 2009 dan 2013