Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hak asasi manusia hari ini meminta Putrajaya untuk membenarkan Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango) melaksanakan aktiviti mereka tanpa rasa takut dan gangguan.
Jurucakap PBB, Rupert Colville, berkata mereka mengambil berat mengenai keputusan terkini Kementerian Dalan Negeri yang mengisytiharkan Comango adalah pertubuhan tidak sah.
“Ini kelihatan seperti tindakan balas terhadap Comango berhubung pembabitannya dengan mekanisme hak asasi manusia antarabangsa, dengan yang paling ketara ialah Semakan Berkala Sejagat (UPR).
“Setiausaha agung, majlis hak asasi manusia dan Pesuruhjaya Tinggi, Navi Pillay kerap meminta individu dan ahli kumpulan yang bekerjasama dengan PBB diberikan perlindungan,” katanya.
Colville berkata, beliau maklum bahawa Comango ada menghantar laporan berhubung UPR Malaysia pada 2009 dan 2013.
“Bagaimanapun, sejak penyerahan UPR 2013, gabungan itu menjadi tumpuan beberapa siri gangguan dan ancaman, daripada pelbagai pihak.
“Comango juga dituduh menyerang Islam dan menyebar kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“PBB meminta Putrajaya untuk melindungi individu dan kumpulan yang bekerjasama dengan PBB, wakilnya dan mekanisme dalam bidang hak asasi manusia daripada perlakukan menakut-nakutkan atau tindakan balas,” katanya.
Colville berkata, Putrajaya juga perlu meminda Akta Pertubuhan 1966 dan meluaskan ruang kepada aktivis hak asasi manusia dan organisasi untuk beroperasi secara bebas.
Rabu lalu, Setiausaha Agung Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohamad Khalid Shariff mengeluarkan kenyataan bahawa Comango adalah organisasi tidak sah. Salah satu alasan diberikan dalam mengisytiharkan Comango sebagai tidak sah ialah mereka memperjuangkan hak yang tersasar daripada keimanan Islam.
Alasan lain ialah banyak daripada 54 NGO dalam gabungan Comango adalah organisasi bukan Islam, ada NGO yang tidak berdaftar dan Comango sendiri tidak didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Kementerian itu melabelkan Comango sebagai tidak Islamik dan tidak berdaftar dan mengenakan larangan terhadap kumpulan pro-hak asasi manusia itu.
Comango pada Khamis mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan mendapatkan tebus rugi perundangan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan larangan KDN.
Comango berkata, semua alasan yang diberikan KDN selaras dengan Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.
Tambahan pula, katanya, Mohamad Khalid tidak menyertakan perintah yang digazetkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pelaksanaan itu.
Mengikut Seksyen 5 Akta Perbuhan 1966, hanya Menteri Dalam Negeri boleh dengan perintah mengisytiharkan sesebuah persatuan tidak sah jika persatuan itu digunakan bagi tujuan prejudis kepada atau tidak bersesuaian dengan kebajikan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam atau moral.
“Kami takut Putrajaya menggunakan Islam sebagai alat politik untuk mendiamkan keganasan hak asasi manusia dan mengancam sesiapa yang menegakkan dan membela hak asasi.
“Putrajaya nampaknya mengambil pendekatan bahaya dan menyemarakkan peningkatan perpecahan toleransi kaum di Malaysia.
“Kami bimbang Putrajaya bukan sahaja mengambil bahasa dan kedudukan kumpulan ekstremis, tetapi menyokong ucapan berbaur benci oleh kumpulan pendesak Melayu, Perkasa,” kata gabungan itu.
Organisasi itu menyangkal tuduhan KDN bahawa mereka menjalankan aktiviti haram, dan menyatakan tidak ada satu pun kerja Comango yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.