Roketkini.com
SRI AMAN: Kerajaan Sarawak meletakkan kepentingan kroni melebihi kepentingan rakyat apabila melengahkan pembinaan Hospital Sri Aman yang bernilai RM200 juta yang diluluskan pada 2009.
Pengerusi DAP Sri Aman Leon Jimat Donald berkata cadangan Hospital Sri Aman seluas 50 ekar yang dicadangkan terletak di kawasan berpaya, namun oleh kerana tapak tersebut dimiliki ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) ia tetap dipilih berbanding lokasi lain.
Menurut Leon, kroni SUPP yang tidak dinamakan itu menjual tanahnya kepada kerajaan negeri dengan harga RM5 juta, dalam masa sama turut membelanjakan RM5 juta bagi kerja penambakan 14 ekar tanah dari keseluruhan 50 ekar.
Tambah Leon, BN menggunakan cadangan projek pembinaan Hospital Sri Aman sebagaii ‘gula-gula kempen’ kepada penduduk di Simanggang setiap kali menjelang pilihanraya.
“Sebelum pilihanraya negeri (PRN) Sarawak pada 2011, Perdana Menteri Najib Razak melakukan lawatan khas ke tapak hospital dan berjanji kepada penduduk Simanggang bahawa hospital tersebut akan siap pada 2013.
“Ia digunakan untuk memancing undi agar pengundi menyokong calom SUPP-BN, Francis Harden pada PRN 2011, dan digunakan sekali lagi pada pilihan raya umum ke-13,” kata Leon, yang dipetik dari laman facebooknya.
“Namun sehingga hari ini, keseluruhan tapak masih tertutup, pagarnya runtuh dan papan tanda ditumbuhi pokok. Ia nampak seperti sebuah projek yang terbengkalai,” ujar Leon.
Kata Leon, kelewatan pembinaan hospital antara punca banyak kematian kerana penduduk yang sakit perlu ke Hospital Besar Kuching yang terletak kira-kira 200 kilometer dari kawasan kediaman mereka.
Hospital Sri Aman lama, yang dibina pada 1959 yang menampung pesakit dari Sri Aman kini terpaksa menerima kehadiran penduduk dari Lubok Antu, Betong, Saratok, Pantu.
Menurut Leon, kemudahan terhad di hospital ini tidak dapat menampung penambahan jumlah pesaikit yang semakin bertambah.
“Penduduk Sri Aman kini berjumlah 200,000 orang. Penantian untuk hospital baru amat menyeksakan penduduk Sri Aman. Berapa lama lagi rakyat perlu menunggu bagi pembinaan hospital baru?
“Tolong jangan jadikan pilihan raya negeri akan datang untuk berjanji lagi untuk memulakan kerja pembinaan. Pengundi Sri Aman sudah masak dengan helah kerajaan,” kata Leon. – Roketkini.com