Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSORAnwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
 
 
PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas dakwaan pihak tertentu yang menyamakan kemelut peralihan jawatan Menteri Besar Selangor dengan timbalan perdana menteri yang dihadapinya pada 1998 lalu.

Anwar menegaskan penyingkiran beliau oleh Tun Dr Mahathir Mohamed sejak 1998 itu bukan sahaja untuk meninggalkan Kabinet bahkan ia dilakukan untuk keluar dari Umno.

"Keputusan untuk menukarkan Menteri Besar Selangor itu telah dilakukan sejak enam bulan lalu dan perkara itu tidak uar-uarkan kepada umum kerana ia masalah dalaman parti.

"Kes saya pula untuk keluar dari Umno dan bukannya untuk memperkuatkan Umno seperti mana yang kami lakukan sekarang," katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu posting Facebook AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang mendakwa krisis di Selangor itu tidak ada bezanya ketika Anwar dipecat kerana tuduhan liwat.

Nasrudin berkata, ketika pemecatan Anwar itu, rakyat bangkit dan membela beliau kerana kes itu tidak dianggap sebagai masalah dalaman Umno sebaliknya satu kezaliman dan fitnah.

Bagaimanapun katanya, pergolakan di Selangor hampir sama apabila Abdul Khalid didakwa diperlakukan oleh Anwar sebagaimana perlakuan Mahathir ke atas Anwar.

Nasrudin mengulas isu pertukaran Abdul Khalid dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.