SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didesak mendedahkan secara terbuka terma-terma perjanjiannya dengan Bank Islam yang membolehkan beliau tidak perlu membayar hutang sejumlah RM70 juta.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, tindakan itu dapat membersihkan Abdul Khalid sekali gus mematikan sebarang keraguan terhadap integritinya.
“Dedahkan secara terbuka terma-terma perjanjian beliau dengan Bank Islam yang membolehkan beliau tidak perlu membayar hutang sebanyak RM70 juta secara tiba-tiba.
“Jelaskan kenapa syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Rashid Manaf mendapat manfaat beratus juta ringgit dari kerajaan negeri dalam tempoh sebulan, selepas hutang beliau (Abdul Khalid) diselesaikan dengan Bank Islam dengan rundingan melalui Tan Sri Rashid Manaf?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi sempat mencabar Abdul Khalid memfailkan saman fitnah terhadapnya sekiranya beliau enggan mendedahkan terma-terma perjanjian itu.
“Jika pun beliau tidak bersedia untuk mendedahkan terma-terma perjanjian dengan Bank Islam, sepatutnya beliau failkan saman fitnah terhadap saya di dalam mahkamah sebelum membuat laporan kepada SPRM.
“Sehingga kini, beliau tidak mengambil sebarang tindakan mahkamah terhadap saya atau Datuk Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.
Menurut Rafizi, ia ekoran Abdul Khalid tidak mahu memberi keterangan bersumpah di mahkamah mengenai perjanjian tersebut.
“Saya percaya ini kerana beliau tidak mahu memberi keterangan bersumpah di mahkamah mengenai perjanjian rahsia beliau dengan Bank Islam.
“Jika beliau tidak ada apa-apa yang disembunyikan, maka beliau sewajarnya mendedahkannya atau menyaman saya di mahkamah sebelum berakhirnya esok,” katanya.