Guan Eng memuat naik status di akaun  twitternya.Guan Eng memuat naik status di akaun twitternya.


TELUK BAHANG - Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memuat naik beberapa status perkembangan semasa Pesta Sukan Bogel Pulau Pinang 2014, di Twitternya kelmarin mengundang rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.

Antara statusnya ‘Inilah kawasan diwartakan Kerajaan Persekutuan yang chalet untuk pegawai awam sahaja. Macam mana boleh bagi sama orang luar guna?’

Satu lagi status berkaitan di Twitter ketua menteri itu turut memaparkan gambar sebuah rumah kayu. Guan Eng berkata, ‘Inilah chalet di Taman Negara Pulau Pinang yang mencetuskan berita sensasi! Kerajaan Negeri Pulau Pinang serahkan kepada pihak polis untuk siasat’.

Bagaimanapun gambar rumah yang dipaparkan berkenaan bukanlah chalet sebaliknya adalah sebuah surau.
Disebabkan itu, ia mendapat reaksi daripada pengikut laman Twitter beliau.
Salah seorang daripada mereka menjelaskan ia bukan chalet sebaliknya surau terbuka.

Sementara seorang lagi pengikut yang lain mendakwa fakta yang dibuat Guan Eng memalukan.
Adun Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Shah turut menyanggah dakwaan berkenaan dengan mengatakan ketua menteri itu tidak tahu apa-apa.

“Ini kerana Guan Eng tidak mendapat maklumat yang tepat, ia maklumat yang salah, Teluk Kampi adalah kawasan untuk orang ramai dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

“Malah di situ juga tidak mempunyai chalet, yang ada hanya kemudahan asas seperti surau, dewan terbuka, pejabat kakitangan dan tandas, bukannya tempat penginapan seperti yang dikatakan beliau,” katanya.